ARTIKEL

12 belia sertai program Roustabout di CENTEXS Lawas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LAWAS: Penyertaan 12 belia dalam kumpulan kedua Program Roustabout di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Lawas, mencerminkan sambutan positif latihan jangka pendek dalam bidang sokongan operasi luar pesisir industri minyak dan gas.

Pengurus Besar CENTEXS Commercial, Shahren Yusri berkata, penyertaan anak muda dalam bidang kemahiran seperti ini perlu terus diperkasa dan diperluas.

Shahren bersama-sama tetamu kehormat meninjau fasiliti di CENTEXS Lawas.

“Golongan muda perlu merebut peluang keemasan ini memandangkan program ini ditawarkan secara percuma sepenuhnya melalui inisiatif Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) yang disokong oleh HRD Corp – Human Resource Development Corporation.

“Program Roustabout yang turut disertai alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur ini merupakan latihan intensif selama sebulan dengan penekanan kepada kemahiran asas kerja di pelantar minyak seperti pengendalian peralatan, keselamatan tempat kerja serta kecekapan fizikal dan mental dalam persekitaran berisiko tinggi,” katanya ketika mengadakan kunjungan kerja ke Kampus CENTEXS Lawas, semalam.

Shahren dalam sesi ramah mesra bersama-sama peserta kumpulan kedua Program Sijil High Rope, Working and Rescue.

Jelasnya, dengan permintaan tenaga kerja dalam sektor tenaga dan luar pesisir kekal terbuka, program seumpama ini diyakini mampu membuka peluang kerjaya yang kompetitif kepada anak muda.

Dalam hal berkaitan, lawatan tersebut juga merupakan sebahagian daripada persiapan menjelang pelancaran rasmi Kampus CENTEXS Lawas yang dijadualkan berlangsung pada Ogos ini, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh ekosistem latihan TVET di wilayah utara.

Shahren merakam kenangan bersama-sama peserta Program Roustabout.

Pihak pengurusan meninjau kemudahan termasuk bilik kuliah, ruang pentadbiran dan asrama, selain mendapatkan maklum balas keperluan operasi serta logistik kampus.

Beberapa perkara penting turut dibincangkan merangkumi penyelarasan sumber manusia, pengurusan aset dan kelancaran operasi keseluruhan.

Dalam kunjungan tersebut, Shahren meluangkan masa beramah mesra bersama dengan 31 peserta kumpulan kedua Program Sijil High Rope, Working and Rescue at Height dalam sesi santai yang memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman dan aspirasi sepanjang mengikuti latihan.

“Program High Rope dijalankan selama tiga bulan dengan fokus kepada aspek keselamatan kerja di tempat tinggi yang sangat diperlukan dalam industri.

“Penyertaan tinggi peserta yang turut melibatkan Sabah dan Semenanjung Malaysia membuktikan bahawa pendekatan latihan berasaskan industri adalah relevan dan diyakini sebagai laluan kerjaya masa depan,” ujarnya.

Shahren juga merakamkan penghargaan kepada HRD Corp – Human Resource Development Corporation atas kepercayaan yang diberikan kepada CENTEXS Commercial Sarawak untuk melaksanakan program ini buat julung kalinya di Kampus CENTEXS Lawas.

CENTEXS Commercial Sarawak berharap lebih ramai anak muda membuka mata dan menyambut baik usaha pembangunan kapasiti tenaga kerja tempatan yang ditawarkan secara percuma dan berfokus kepada keperluan sebenar industri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU