ARTIKEL

Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn (tiga kanan) merakam gambar bersama-sama hadirin sempena Persidangan Penyelidikan Pendidikan dan Inovasi Antarabangsa Keempat.

12 Perkara Pentadbiran Pendidikan Sarawak Selesai Menerusi Kerjasama Persekutuan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerjasama antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan membolehkan 12 perkara berkaitan pentadbiran pendidikan yang dibangkitkan sebelum ini diselesaikan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, perkara berkenaan kebanyakannya melibatkan urusan pentadbiran, termasuk pemerkasaan Pengarah Pendidikan Negeri serta hal berkaitan pembinaan sekolah.

Menurutnya, Sarawak tidak menuntut autonomi pendidikan sepenuhnya sehingga perlu mengambil alih semua tanggungjawab pengurusan pendidikan, sebaliknya mengutamakan kelonggaran pentadbiran bagi memudahkan pelaksanaan keperluan pendidikan negeri.

“Bagi kita, selagi urusan pentadbiran dapat dipermudah, itu sudah memadai,” katanya ketika ditemu bual media selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Pendidikan dan Inovasi Antarabangsa Keempat di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sagah berkata, antara kemajuan yang dicapai menerusi perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia ialah persetujuan berhubung penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains, selain pengajaran Bahasa Inggeris.

Beliau berkata, pendekatan itu merupakan antara perkara yang memudahkan pelaksanaan dasar pendidikan mengikut keperluan Sarawak.

“Bagi perkara berkaitan sekolah, ya, 100 peratus, selagi ia berkaitan pendidikan.

“Sudah tentu terdapat perkara lain yang turut kita minta, tetapi perkara itu berada di luar bidang kuasa Kementerian Pendidikan Malaysia. Kita masih menantikan perkembangan lanjut dan akan memaklumkannya pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, perkara yang masih dalam perhatian itu melibatkan bidang kuasa kementerian lain, termasuk Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, Sagah menjelaskan bahawa pengambilalihan sepenuhnya tanggungjawab pendidikan, khususnya pembayaran gaji guru, akan memerlukan peruntukan kewangan yang besar.

Beliau menganggarkan kos berkenaan sekitar RM50 bilion setahun, sekali gus menjelaskan mengapa Sarawak memilih pendekatan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan berbanding mengambil alih keseluruhan tanggungjawab pendidikan.

Justeru, beliau berkata bahawa kerjasama antara kedua-dua kerajaan penting bagi memastikan urusan pendidikan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, sambil membolehkan Sarawak memberi tumpuan kepada keperluan pembangunan negeri yang lain.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU