MUKAH: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, disifatkan sebagai ‘superstar’ oleh komuniti Cina di Mukah susulan pendekatan mesra rakyat serta komitmen beliau dalam membawa pembangunan di kawasan berkenaan.
Penghulu Henry Lee Liong Ing berkata, Royston merupakan pemimpin yang sentiasa turun padang, mendengar permasalahan penduduk dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa mengira kaum atau agama.

“Royston menunjukkan prestasi perkhidmatan yang baik sejak menjadi wakil rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian, selain komited dalam usaha memajukan Mukah.
“Beliau seorang pemimpin yang mudah didekati, mempunyai wawasan dan sentiasa mahu bersama-sama rakyat.
“Komuniti Cina di Mukah memberikan sokongan penuh kepada beliau kerana melihat sendiri kesungguhan dan usaha yang dilaksanakan untuk pembangunan kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perjumpaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya antara pembangunan yang dinantikan penduduk ialah projek Waterfront Mukah dan Integrated Market yang berpotensi mengubah wajah bandar itu.
Ujarnya, pelaksanaan projek berkenaan bukan sahaja dapat menjadikan Mukah lebih menarik, malah berpotensi memperkukuh sektor pelancongan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Sementara itu, Penghulu Winnie Wena Dominic Lai yang mewakili penduduk Kampung Tellian Tengah, Tellian Ulu dan Tellian Tradisi berkata, pelbagai perubahan pembangunan dinikmati penduduk sejak Royston menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.
Menurutnya, antara perubahan ketara ialah penambahbaikan jalan titian kampung yang kini banyak digantikan dengan laluan bersimen bagi memberikan kemudahan lebih baik kepada penduduk.
“Beliau (Royston) turut memberikan perhatian ke atas kebajikan masyarakat, termasuk bantuan pendidikan anak-anak, urusan kematian dan keperluan golongan yang sakit.
“Apabila bantuan seperti kerusi roda diperlukan, beliau akan berusaha menyediakannya apabila diminta.
Dalam pada itu, Penghulu Sebastian Sintan memberitahu, prestasi Royston sepanjang lima tahun lalu dapat dilihat menerusi usaha membawa pembangunan dan kemudahan asas kepada penduduk.
“Pelbagai kemudahan termasuk jalan raya, dewan dan bekalan elektrik telah diberikan perhatian, selain bantuan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
“Kita juga boleh lihat bahawa Royston ialah pemimpin muda yang berani menyuarakan keperluan rakyat kepada pihak berkaitan,” ujarnya.

Penghulu Besiri Keri pula berkata, perubahan pembangunan di enam kampung di bawah seliaannya, iaitu Kampung Tellian Laut, Kampung Datuk, Kampung Penakup Hilir, Kampung Sungai Ragei, Sungai Pegei dan Tutus Hilir, semakin ketara sejak Royston menjadi wakil rakyat.
Dedahnya, meskipun terdapat projek yang mengambil masa untuk dilaksanakan berikutan keperluan peruntukan, permintaan penduduk tetap mendapat perhatian.
“Pendekatan Royston yang kerap turun padang dan berhubung secara langsung dengan masyarakat membolehkan penduduk menyampaikan keperluan mereka dengan lebih mudah.
“Bantuan yang disalurkan merangkumi pelaksanaan projek pembangunan, penyediaan kemudahan kampung serta kerja membaik pulih rumah,” tambahnya.
Kesemua penghulu berkenaan berharap Royston diberikan peluang untuk terus mewakili DUN Tellian pada penggal akan datang bagi meneruskan pembangunan, memperkukuh kemudahan asas serta memastikan kebajikan penduduk terus mendapat perhatian.


