KUCHING: Sarawak memperluas pendedahan kepada kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pendidikan menerusi sekolah dan maktab perguruan bagi memastikan guru serta pelajar bersedia menghadapi perkembangan teknologi digital.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, pelaksanaan pendedahan AI dalam pendidikan ketika ini masih di peringkat awal berbanding negara maju, namun Sarawak sedang berusaha mengejar perkembangan tersebut.
“Jika dibandingkan dengan negara maju, kita memang ketinggalan. Namun, kita sedang berusaha mengejar mereka.
“Dalam hal AI dan pendigitalan, kanak-kanak dapat mempelajarinya dengan sangat pantas. Begitu juga dengan latihan guru. Mereka juga cepat menguasainya kerana perkara ini menarik minat mereka dan merupakan sesuatu baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual media selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Pendidikan dan Inovasi Antarabangsa Keempat di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurut Sagah, sukatan pelajaran berkaitan AI diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha memberikan pendedahan awal kepada pelajar, manakala latihan di maktab perguruan turut dilaksanakan bagi membolehkan bakal guru memahami penggunaan teknologi berkenaan.
Katanya, pendekatan itu bukan bertujuan melatih guru menjadi tutor AI, sebaliknya memberi penekanan kepada penggunaan teknologi tersebut dalam membantu mereka melaksanakan tugas dengan lebih mudah dan berkesan.
Bagaimanapun, beliau mengakui jumlah guru yang mendapat pendedahan berkaitan AI masih belum mencukupi, justeru latihan di maktab perguruan penting bagi memperluas penggunaan teknologi itu dalam sektor pendidikan.
Sagah berkata, kanak-kanak dan guru mempunyai keupayaan untuk mempelajari teknologi baharu dengan pantas, khususnya apabila penggunaannya dapat membantu meningkatkan kecekapan dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta urusan harian.
Sehubungan itu, usaha memperluas pendedahan AI dalam pendidikan akan terus menjadi sebahagian daripada peralihan digital bagi memastikan warga pendidikan Sarawak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi semasa.


