KUCHING: Perbezaan sempadan negara dan wilayah tidak seharusnya menjadi penghalang kepada umat Islam di Borneo untuk memperkukuh persaudaraan serta bekerjasama meningkatkan taraf hidup masyarakat di rantau ini.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, umat Islam di Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan berkongsi pegangan tauhid yang sama. Perkara itu menjadi asas kukuh untuk mempererat hubungan merentasi sempadan.

“Walaupun kita datang dari Indonesia, Sarawak dan Sabah serta Brunei Darussalam, tetapi tauhid kita satu.
“Dengan pegangan tauhid ini, kita sebenarnya adalah satu,” katanya semasa merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo 1448 Hijrah/2026 Masihi, di sini, malam tadi.

Ujarnya, hubungan masyarakat di Borneo turut diperkukuh oleh persamaan sejarah dan budaya yang telah lama terbentuk sebelum wujud sempadan politik moden.
“Dahulu kita adalah satu tetapi dipecah-pecahkan oleh kuasa besar yang menjadi kolonial. Tetapi dengan adanya semangat begini, kita membaca ayat yang sama, lagu pun sama, maknanya budaya kita di Borneo pun sama,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap umat Islam di Borneo dapat memainkan peranan sebagai khalifah yang berpegang teguh kepada tauhid, selain menggunakan ilmu untuk membangunkan masyarakat dan membantu mereka keluar daripada kemiskinan.
Dalam pada itu, beliau berkata, al-Quran perlu dilihat bukan sekadar sebagai kitab untuk dibaca dan dihafaz, tetapi sebagai sumber petunjuk yang perlu difahami serta diterjemahkan dalam kehidupan dan pembangunan masyarakat.

“Penganjuran tilawah dan hafazan al-Quran mempunyai peranan lebih luas kerana ia turut menggalakkan umat Islam memahami, menghayati dan mengaplikasikan kandungannya untuk kesejahteraan manusia.
“Pendekatan itu selari dengan aspirasi Sarawak untuk memastikan keamanan dan kemakmuran yang dinikmati negeri ini turut menyumbang kepada pembangunan masyarakat di seluruh rantau Borneo,” tambahnya.

Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo berlangsung dari 26 hingga 29 Oktober dan menghimpunkan seramai 32 peserta dari Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam serta lima wilayah di Kalimantan, Indonesia.
Penganjuran yang melibatkan kategori tilawah serta hafazan al-Quran 15 juzuk bagi lelaki dan wanita itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara masyarakat Islam di Borneo.



