ARTIKEL

Abang Johari berucap pada majlis perasmian Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo 1448 Hijrah/2026 Masihi, di sini, malam tadi. Foto: GHAZALI BUJANG

Borneo kaya sumber alam, perlu dibangun bersama

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak menyarankan negara dan wilayah di Kepulauan Borneo berganding tenaga dalam memanfaatkan kekayaan biodiversiti dan sumber tenaga yang dimiliki sebagai pemacu pembangunan serantau, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat tanpa mengabaikan kelestarian khazanah alam.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Borneo, pulau ketiga terbesar di dunia, memiliki sumber alam yang besar dan perlu dibangunkan secara berilmu dan bertanggungjawab untuk memberi manfaat kepada seluruh penduduknya.

Menurutnya, kekayaan biodiversiti dan sumber semula jadi yang ada harus dimanfaatkan bukan untuk satu kelompok sahaja, sebaliknya bagi memberi manfaat kepada seluruh masyarakat yang mendiami pulau berkenaan.

“Khazanah sumber ini adalah anugerah yang harus kita jaga dan gunakan untuk meningkatkan taraf kehidupan, bukan sahaja untuk orang Islam tetapi untuk semua penghuni di Kepulauan Borneo.

“Kalau kita dapat mengangkat kedudukan mereka keluar daripada kemiskinan, maka kita telah dapat menunaikan tanggungjawab kita kepada umat manusia,” katanya pada majlis perasmian Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo 1448 Hijrah/2026 Masihi, di sini, malam tadi.

Jelasnya, Kepulauan Borneo yang dikongsi tiga negara, iaitu Malaysia menerusi Sarawak dan Sabah, Indonesia menerusi Kalimantan serta Brunei Darussalam, dengan keluasan kira-kira 743,330 kilometer persegi mempunyai kekayaan sumber semula jadi yang besar dan harus dimanfaatkan secara bertanggungjawab.

Dalam konteks Sarawak, beliau berkata, antara kekuatan utama negeri ialah sumber tenaga, khususnya hasil daripada jaringan sungai yang luas dan berpotensi menjana tenaga bagi kegunaan masyarakat, perniagaan serta ekonomi.

“Borneo banyak sungai dan air yang mengalir di itu boleh menjadi sumber untuk kita menjana tenaga serta menggerakkan pembangunan di kawasan masing-masing.

“Tenaga itu diperlukan oleh masyarakat, perniagaan dan ekonomi kita. Kalau ini dapat kita bangunkan bersama, sudah tentu tenaga ini dapat menambah nilai kepada khazanah kita yang lain termasuk biodiversiti,” ujarnya.

Menurutnya, kekuatan tenaga yang dibangunkan Sarawak juga boleh dimanfaatkan bagi membantu menggerakkan ekonomi serantau menerusi jaringan ASEAN.

“Pendekatan itu menunjukkan bagaimana ilmu moden boleh digabungkan dengan nilai yang terkandung dalam al-Quran bagi mengurus dan membangunkan sumber alam secara bertanggungjawab.

“Sebab itu saya malam ini mengajak supaya kita mendalami ilmu yang terkandung dalam al-Quran dan mengaplikasikannya kepada keadaan yang ada di Pulau Borneo.

“Dengan ilmu itu, sudah tentu kita dapat mengangkat kedudukan masyarakat di Pulau Borneo, bahkan membantu masyarakat di kawasan lain,” katanya.

Beliau menegaskan, al-Quran menggalakkan umat Islam menguasai ilmu kerana bukan sahaja mampu mengangkat darjat manusia, malah menjadi asas kepada pembangunan ekonomi, pengurusan sumber alam dan peningkatan kesejahteraan masyarakat.

Justeru, katanya, pembangunan Borneo pada masa depan perlu bergerak seiring antara kemajuan ekonomi, penggunaan sumber tenaga secara berhemah serta pemeliharaan biodiversiti supaya kekayaan semula jadi pulau itu terus memberi manfaat kepada generasi akan datang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU