KUCHING: Penubuhan Sekolah Menengah Islam Antarabangsa Sarawak pertama di sini dengan pelaburan kira-kira RM400 juta bakal menawarkan biasiswa kepada pelajar Islam berpotensi dari Kepulauan Borneo dan negara kepulauan Pasifik.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sekolah berkenaan bukan sahaja akan menerima pelajar tempatan, malah membuka peluang kepada masyarakat Islam minoriti dari rantau berkenaan untuk mendapatkan pendidikan berkualiti.

“Kerajaan Sarawak akan menubuhkan sekolah agama antarabangsa di sini yang membelanjakan lebih kurang RM400 juta.
“Ia akan menjadi tempat kepada anak-anak Islam dari Kepulauan Borneo dan juga Pasifik yang mempunyai jumlah minoriti Islam untuk melanjutkan pelajaran di sini dengan kita memberikan biasiswa kepada mereka.
“Mereka yang pakar, mahir dan mempunyai potensi akan kita bawa bersama yang lain, termasuk anak-anak kita di Sarawak supaya mereka boleh bercampur dan belajar antara satu sama lain,” katanya.
Abang Johari yang juga Pengerusi Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) berkata demikian pada Majlis Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi di sini, malam kelmarin.
Mengulas lanjut, beliau berkata pengalaman mengunjungi dua buah negara kepulauan di Pasifik Selatan, Republik Vanuatu dan Republik Fiji, turut membuka matanya terhadap cabaran pendidikan yang dihadapi sebahagian masyarakat Islam minoriti.
“Keadaan ekonomi sesetengah komuniti itu masih belum maju dan memerlukan sokongan, khususnya dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada generasi muda.
“Apabila kita membantu begini, Allah akan membantu kita. Alhamdulillah Sarawak dalam keadaan yang aman dan makmur dan kita mahu Borneo pun aman dan makmur,” ujarnya.
Katanya, sekolah itu akan menggabungkan pendidikan Islam dengan kurikulum Cambridge, sekali gus membolehkan pelajarnya menguasai pengetahuan agama serta ilmu moden pada tahap antarabangsa.
“Apabila anak kita keluar dari sekolah tersebut, mereka boleh berbahasa antarabangsa dan dengan itu dapat menunaikan tanggungjawab meneruskan dakwah Islamiah dalam kalangan mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata, penekanan terhadap ilmu moden penting supaya generasi yang menghafal al-Quran bukan sekadar mampu membaca dan mengingatinya, tetapi memahami serta menterjemahkan kandungannya dalam menghadapi cabaran dunia semasa.
“Kalau mereka hafaz al-Quran, mereka dapat menterjemahkan apa yang dibacakan dalam al-Quran dan digunakan untuk membangunkan dunia hari ini. Sudah tentu ia berkehendakkan ilmu-ilmu yang spesifik,” katanya.
Komitmen membantu komuniti Islam minoriti di Pasifik bukan perkara baharu apabila Abang Johari pada November tahun lalu menyatakan hasrat Sarawak menyediakan tempat kepada pelajar daripada negara anggota RISEAP untuk belajar di sekolah antarabangsa Islam di negeri ini.
Pada Februari 2026, Kerajaan Sarawak mengumumkan peruntukan RM95 juta bagi pembangunan Sekolah Menengah Islam Antarabangsa di bawah Yayasan Sarawak yang mengambil inspirasi daripada Madrasah Aljunied Al-Islamiah di Singapura dengan gabungan pendidikan Islam dan kurikulum Cambridge.


