KUCHING: Penubuhan Pusat Al-Quran Darul Hana Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS) merupakan langkah Kerajaan Sarawak untuk memperkasakan pendidikan al-Quran bagi melahirkan lebih ramai guru, qari, qariah, hafiz dan hafizah yang berkualiti di negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata agensi baharu di bawah Majlis Islam Sarawak itu turut berperanan memperluas peluang pembelajaran al-Quran kepada masyarakat di bandar dan luar bandar.

Menurutnya, penubuhan pusat berkenaan pada 2025 itu juga bertujuan memperkukuh institusi pengajian al-Quran sedia ada, selain menyediakan latihan dan bimbingan berterusan bagi mengenal pasti serta mengembangkan bakat generasi muda.
“Melalui penubuhan DHQc-MIS, Kerajaan Sarawak berhasrat memastikan peluang mempelajari dan mendalami al-Quran dapat diperluas kepada segenap lapisan masyarakat, sama ada di bandar mahupun luar bandar.
“Kita mahu melahirkan lebih ramai guru al-Quran yang berkualiti, memperkukuh institusi pengajian sedia ada serta memastikan pembangunan bakat qari, qariah, hafiz dan hafizah dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Tilawah Al-Quran Bandaraya Se-Borneo 1448 Hijrah/2026 Masihi yang dirasmikan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata usaha mengenal pasti dan membimbing pelapis baharu perlu dipertingkatkan kerana masih ramai anak Sarawak mempunyai potensi besar dalam bidang al-Quran, namun belum mendapat peluang mencukupi untuk menyerlahkan kebolehan.
“Kejayaan anak kelahiran Kuching, Ustazah Nur Syakura Mohamad Musa yang dinobatkan sebagai Johan Qariah pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-66 Tahun membuktikan kemampuan bakat tempatan mencapai kecemerlangan di peringkat dunia,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan pembangunan Sarawak dalam bidang kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan infrastruktur perlu diseimbangkan dengan pendidikan agama serta pembentukan akhlak masyarakat.
“Kemuliaan sesebuah masyarakat bukan semata-mata diukur melalui kekayaan, kedudukan atau kemajuan kebendaan, tetapi juga sejauh mana mereka berpegang kepada nilai yang terkandung dalam al-Quran.
“Justeru, saya menyeru generasi muda supaya terus membaca, memahami dan menghayati al-Quran demi membina masyarakat yang berilmu dan berakhlak mulia,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, program tahun ini menghimpunkan seramai 32 peserta daripada Brunei Darussalam, wilayah Kalimantan di Indonesia, Sabah dan Sarawak dengan 17 daripadanya menyertai kategori tilawah al-Quran, manakala 15 lagi mengambil bahagian dalam kategori hafazan.
“Majlis ini membawa makna yang lebih besar. Walaupun dipisahkan oleh sempadan pentadbiran dan negara, masyarakat Islam Borneo tetap disatukan oleh kecintaan terhadap al-Quran.
“Saya berharap pertemuan ini akan memperluas perkongsian kepakaran dalam bidang tilawah, hafazan, latihan guru serta pembangunan bakat supaya kerjasama yang terjalin dapat diteruskan selepas majlis ini berakhir,” katanya.
Majlis itu dianjurkan Majlis Islam Sarawak dengan kerjasama DBKU untuk membuka peluang memperkukuh hubungan masyarakat Islam di Kepulauan Borneo, selain menggalakkan perkongsian kepakaran dalam pengajaran, latihan serta pembangunan bakat al-Quran.



