ARTIKEL

AKTIF... Peserta Kem Integriti BPMB-SPRM menyertai sesi interaktif yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memupuk nilai integriti dan etika dalam kalangan belia.

120 pelajar institusi tinggi sertai program AMAR di Lundu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LUNDU: Seramai 120 pelajar daripada institusi pengajian tinggi di seluruh Borneo menyertai Program Kem Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) Institusi Pendidikan Tinggi Zon Sarawak 2025 di Akademi Kenegaraan Malaysia, Lundu selama tiga hari bermula 7 hingga 9 November lalu.

Program tersebut dianjurkan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pegawai Pematuhan BPMB, Rohayati Talha berkata, program itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh budaya integriti dan nilai antirasuah dalam kalangan mahasiswa.

Usaha itu, katanya, sekali gus memberi pendedahan kepada peserta untuk mendalami pemahaman mengenai etika, semangat berpasukan dan kepimpinan berintegriti dalam memerangi rasuah.

“Integriti tidak dapat dibina dalam sehari. Ia dipupuk melalui kesedaran, tindakan dan akauntabiliti.

“Menerusi Kem AMAR, BPMB berbangga dapat berdiri seiring dengan SPRM dalam membentuk generasi kepimpinan masa hadapan yang menjunjung tinggi nilai-nilai ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Penolong Kanan Pesuruhjaya Samsul Salip berkata, Kem AMAR memainkan peranan penting dalam memperkasa belia sebagai penyampai utama nilai antirasuah.

Beliau pada masa sama menyokong usaha tersebut dan mengalu-alukan kesinambungan kerjasama serta kepimpinan BPMB dalam memastikan kesedaran dan keberanian moral menjadi sebahagian penting ekosistem pendidikan serta korporat di Malaysia.

Program bertemakan “Memperkukuh Integriti Membentuk Mahasiswa Terbilang” itu menampilkan bengkel interaktif, cabaran berkumpulan dan sesi penyampaian sijil bagi mengiktiraf pencapaian pelajar dalam aspek integriti, kerja berpasukan dan kepimpinan.

INTERAKSI… Ketua Pegawai Pematuhan BPMB, Rohayati Talha berinteraksi bersama pelajar semasa sesi mengenai integriti dan kepimpinan beretika.
TAMAT… Gambar kenangan sempena penutupan Kem Integriti BPMB-SPRM.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU