126 askar wataniah digerakkan ke Sibu

KUCHING: Seramai enam pegawai dan 120 anggota tetap dan sukarela Rejimen 511 Askar Wataniah diatur gerak bagi memperkasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sibu.

Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Azhar Ahmad berkata mereka akan diletakkan di bawah perintah kawalan Op Penawar 9 Briged.

“Mereka dijangka berada di sana (Sibu) selama dua minggu atau mungkin lebih bergantung kepada penularan Covid-19 yang meningkat di Sibu dan merebak ke Song dan Kapit,” katanya pada sidang media di Rejimen 511 Askar Wataniah, Kem Ria, Kota Sentosa dekat sini hari ini.

Justeru, beliau berharap dengan adanya atur gerak daripada 3 Briged ini, ia boleh membantu 9 Briged yang semakin memerlukan anggota untuk menjalankan tugas Op Penawar.

“Mereka ini akan diletakkan di lapan sekatan jalan raya (SJR) yang telah dikenal pasti di Sibu oleh Panglima 9 Briged.

“Penerimaan mereka di sana akan diterima oleh Panglima 9 Briged dan ditaklimatkan tentang tugas serta misi yang akan mereka laksanakan di Sibu nanti,” katanya.

Sementara, Komander Rejimen 511 Askar Wataniah, Brigedier Jeneral Abang Mohamad Abang Marzuki berkata kesemua pegawai dan anggota askar wataniah terbabit adalah yang terpilih dan berpengalaman dalam Op Penawar, kerana pernah ditugaskan di Kuching dalam tempoh PKP sebelum ini.

Azhar melakukan simbolik pelepasan pegawai dan anggota Rejimen 511 Askar Wataniah yang ditugaskan untuk Op Penawar di Sibu. – foto Ramidi Subari

“Untuk Op Penawar, pihak tentera melancarkan Latihan Kerahan Untuk Berkhidmat (LKUB) dan ini telah dilaksanakan sejak Mac tahun lepas dan konsep yang sama kita gunakan di Sibu.

“Mereka adalah pegawai dan anggota yang terpilih, jadi jangan risau kerana mereka semua sudah dilatih dan boleh melaksanakan tugas dengan cemerlang,” katanya.

Menurutnya, Rejimen 511 Askar Wataniah kini mempunyai kekuatan anggota seramai lebih kurang 2,400 orang.

Tambahnya bagi Op Penawar sejak Mac tahun lepas, Rejimen 511 Askar Wataniah pernah menugaskan sehingga 250 orang untuk satu masa.

“Kalau kita kira dari segi turun dan balik bertugas, hampir 500 orang askar wataniah yang telah ditugaskan dalam Op Penawar ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Mohamad juga menyeru agar lebih ramai anggota sukarela askar wataniah tampil melapor diri untuk diaturgerakkan kerana pada masa ini, penglibatan anggota tetap dan sukarela amat diperlukan.

Pada masa sama, beliau berkata pengambilan anggota baru juga dibuka kepada anak Sarawak yang berminat.

“Mereka boleh berhubung dengan pasukan untuk proses pengambilan.

“Proses pengambilan secara online juga dibuka melalui pautan https://bit.ly/3jdicVh,” katanya.