DARO: Sebanyak 13 daripada 22 jambatan mega yang sedang dibina di seluruh Sarawak berjaya disiapkan, termasuk Jambatan Batang Paloh yang mula dibuka kepada pengguna hari ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pencapaian itu mencerminkan kemajuan pembangunan infrastruktur negeri menerusi pembiayaan kerajaan negeri sendiri.

Pembukaan Jambatan Batang Paloh merupakan detik bersejarah bagi penduduk di seluruh kawasan Pulau Bruit jika sebelum ini bergantung kepada pengangkutan air untuk berhubung dengan kawasan lain.
“Ketika saya pertama kali datang ke kawasan ini pada penghujung tahun 2000, kita terpaksa menggunakan perahu untuk sampai ke sini dan perjalanan ketika itu amat sukar.
“Namun, keadaan kini berubah dengan adanya jambatan ini yang membawa perubahan besar kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Prapelancaran Jambatan Batang Paloh di sini, hari ini.

Jambatan berkenaan dibina dengan kos RM299 juta, manakala keseluruhan 22 projek jambatan mega di Sarawak melibatkan peruntukan kira-kira RM7 bilion.
Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) berkata, pelaksanaan projek berskala besar itu membuktikan kemampuan kerajaan negeri menjana sumber kewangan sendiri bagi membiayai pembangunan infrastruktur.
Pembiayaan menggunakan dana negeri membolehkan pelbagai projek sebelum ini diragui pelaksanaannya, kini berjaya direalisasikan.

Jambatan Batang Paloh turut melengkapkan rangkaian perhubungan di kawasan berkenaan, selain Jambatan Igan, Jambatan Batang Lassa dan Jambatan Batang Rajang.
Uggah berkata, meskipun pembinaan projek itu mengalami sedikit kelewatan daripada jadual asal, kerjasama semua pihak membolehkan komitmen untuk membuka jambatan berkenaan hari ini direalisasikan.
Mengulas mengenai perkhidmatan feri di Batang Paloh, beliau berkata operasi perkhidmatan itu akan dipindahkan ke Kedang bagi menghubungkan kawasan berkenaan dengan Pulau Bruit.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyediakan kemudahan landing ramp bagi membolehkan perkhidmatan feri diteruskan di lokasi baharu,” katanya.






