SIBURAN: Seramai 13 penghuni hilang tempat berteduh selepas rumah didiami mereka di Kampung Tijirak, di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.29 malam itu turut mengakibatkan beberapa kenderaan iaitu pacuan empat roda, sebuah motosikal hangus dan Perodua Kancil musnah 50 peratus.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan telah digerakkan ke lokasi.

“Pasukan pemadam menghadapi kesukaran disebabkan jentera tidak dapat masuk ke lokasi berikutan keadaan laluan yang agak sempit dan anggota terpaksa menggunakan kenderaan yang lebih kecil untuk ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, komander operasi melaporkan semasa kejadian, terdapat lapan orang penghuni berada di dalam rumah telah berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 21:38 dan kerja-kerja ‘overhaul’ dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca api serta nyalaan semula.
“Kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan, punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.





