KUCHING: Seramai 130 pegawai kanan polis, ketua-ketua polis balai dan penyelia kanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching melafaz ikrar bebas dadah, bebas rasuah dan akta rahsia rasmi dalam usaha memantapkan lagi disiplin dan integriti.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, pihaknya mengambil serius isu berkaitan salah guna kuasa, rasuah, jenayah dadah dan jenayah syariah yang membabitkan warga IPD Kuching.

Katanya, ia merupakan indikator yang menunjukkan betapa seriusnya masalah tersebut dan menegaskan ia harus dihentikan.
“Saya tidak mahu melihat saya sendiri, barisan kepimpinan saya, warga polis Daerah Kuching terpalit dengan masalah sedemikian.
“Sebab ia akan melumpuhkan objektif sebenar penubuhan PDRM (Polis Diraja Malaysia) khususnya di Kuching yang objektifnya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ikrar Bebas Dadah, Bebas Rasuah dan Akta Rasmi peringkat IPD Kuching di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.
Majlis ikrar disaksikan oleh Timbalan Pengarah (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Sarawak Wan Ahmad Nizam Wan Omar.
Justeru Ahsmon berkata, majlis yang diadakan hari ini merupakan kesinambungan daripada program yang diadakan tahun lepas untuk memantapkan lagi disiplin, integriti dan tatakelola warga IPD Kuching.
Tahun lalu, seramai 25 warga IPD Kuching terdiri daripada empat pegawai kanan polis, 20 anggota polis dan seorang pegawai awam terbabit dalam pelbagai jenayah dan kesalahan seperti rasuah, jenayah dadah dan jenayah syariah.
Tambah Ahsmon, pihaknya telah mengambil tindakan disiplin terhadap 133 pegawai dan anggota polis yang telah melanggar disiplin, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP).



