KUCHING: Seramai 132 atlet dikenal pasti berpotensi untuk dipertimbangkan ke dalam persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan sepanjang Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, senarai awal itu membabitkan 59 atlet lelaki dan 73 wanita yang akan terus dipantau serta dinilai berdasarkan prestasi di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
“Atlet-atlet ini akan terus dipantau dan dinilai berdasarkan prestasi semasa, konsistensi, kecergasan, status kecederaan, prestasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta keperluan setiap acara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, pencapaian atlet di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) pada SUKMA kali ini turut menunjukkan perkembangan positif apabila seramai 372 atlet Program Podium, Pelapis dan Podium Berfasa menyumbang keseluruhan 373 pingat, terdiri daripada 180 emas, 99 perak dan 94 gangsa.
“Sebanyak 37 rekod baharu SUKMA turut dicatat sepanjang temasya, dengan 14 daripadanya dipecahkan atlet di bawah program MSN membabitkan enam rekod olahraga, tiga memanah dan lima renang.
“Antara menyerlah ialah perenang Program Pelapis, Shannon Yan-Qing Tan, yang meraih lapan emas, manakala atlet Program Podium, Muhammad Dhuha menyumbang lima emas.
“Elvis Priestly Clement, Nur Elisha Rania, Adania Redzwan, Cadence The Zi Qi dan Danish Iftikhar turut disenaraikan antara atlet yang mempamerkan prestasi cemerlang pada temasya kali ini,” katanya.
Dalam masa sama beliau berkata, seramai 1,975 atlet yang dikenal pasti menerusi Program Bakat, Program Pembangunan Sukan Olimpik dan Program Khas MSN turut mengambil bahagian dalam SUKMA XXII Selangor 2026.
“Daripada jumlah itu, seramai 538 atlet berjaya menyumbang pingat kepada kontinjen negeri masing-masing.
“Ini menunjukkan keberkesanan sistem pembangunan bakat yang dilaksanakan secara berperingkat daripada pengenalpastian bakat kepada program prestasi tinggi,” katanya.
Dr Mohammed Taufiq berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama MSN serta pemegang taruh berkaitan akan terus memperkukuh SUKMA sebagai platform pembangunan atlet.
“Ini termasuk menerusi pengenalpastian bakat, penglibatan atlet muda, standard pertandingan, pembangunan jurulatih, penggunaan data prestasi dan sains sukan.
“Usaha ini penting bagi memastikan SUKMA terus menjadi medan yang berkesan untuk melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi yang akan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” katanya.
Sukan SEA 2027 akan berlangsung di Malaysia dengan Sarawak sebagai penganjur bersama, sekali gus menjadikan proses mengenal pasti dan membangunkan bakat daripada SUKMA kali ini sebagai antara langkah penting dalam membentuk barisan atlet negara.
SUKMA 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos menyaksikan kontinjen Selangor muncul juara keseluruhan selepas mengumpul sejumlah 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 245 pingat.
Wilayah Persekutuan menduduki tempat kedua dengan 51 emas, 54 perak dan 52 gangsa, manakala Terengganu di tempat ketiga dengan 43 emas, 44 perak dan 36 gangsa.
Sarawak pula menamatkan saingan di tempat keempat dengan 41 emas, 40 perak dan 62 gangsa, diikuti Pulau Pinang di tempat kelima dengan 39 emas, 55 perak dan 62 gangsa.
Walaupun berada di luar kelompok tiga terbaik, pungutan 41 emas itu meletakkan Sarawak sebagai antara kontinjen paling kompetitif pada temasya kali ini, dengan 143 pingat keseluruhan.



