KUCHING: Hospital Umum Sarawak (HUS) melaksanakan usaha memperkasakan keupayaan keselamatan kebakaran dalam sektor kesihatan, dengan menganjurkan Latihan Profesional Pengurusan Keselamatan Kebakaran Kemudahan Kesihatan baru-baru ini.
Dalam sepanjang program selama dua hari itu, para peserta didedahkan kepada pendekatan menyeluruh dalam pengurusan keselamatan kebakaran merangkumi kesedaran, kesiapsiagaan, protokol tindak balas, latihan amali kebakaran, pelaporan insiden serta kerangka undang-undang dan peraturan berkaitan.
“HUS komited dalam mempromosikan kesedaran keselamatan di seluruh negeri, dengan latihan ini turut menjadi penanda aras baharu ke arah menjadikan Sarawak sebagai hab keselamatan penjagaan kesihatan, bukan sahaja untuk Malaysia malah di rantau Asia Tenggara,” kata HUS menerusi satu kenyataan.
Latihan yang julung kali diadakan itu telah menghimpunkan seramai 135 peserta dari seluruh Sarawak yang terdiri daripada pelbagai bidang termasuk doktor, Penolong Pegawai Perubatan (PPP), jururawat, Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP), kakitangan keselamatan syarikat konsesi, penyelaras keselamatan hospital swasta serta bidang-bidang berkaitan lain.
Latihan itu berjaya direalisasikan hasil kerjasama erat antara Unit Penyeliaan PPP dan Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) HUS, dengan sokongan penting daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Sarawak, Ibu Pejabat Bomba Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan One Medicare Sdn. Bhd. (OMSB).

