KUCHING: Katibas dicadangkan sebagai kawasan pengeluaran madu hutan menerusi inisiatif Satu Daerah Satu Industri (SDSI) bagi membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat, susulan pelaksanaan projek pembangunan bernilai RM1.2 bilion di kawasan itu dalam tempoh sepenggal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, pembangunan Madu Hutan Katibas sebagai jenama tempatan berpotensi memperluas pasaran produk berkenaan, sekali gus meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.
“Dalam usaha menterjemahkan pengiktirafan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kepada peluang ekonomi yang nyata, saya mencadangkan supaya kawasan Katibas turut dibangunkan sebagai sumber pengeluaran madu hutan melalui inisiatif Satu Daerah Satu Industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Potensi madu hutan Katibas wajar diterokai melalui pemanfaatan sumber hutan secara bertanggungjawab dan mampan.
Inisiatif itu bukan sahaja dapat memperkukuh identiti produk tempatan, malah membuka peluang kepada penduduk menjana pendapatan menerusi aktiviti pengumpulan, pemprosesan dan pemasaran madu hutan berkualiti.
Lidam memohon perhatian dan kerjasama kementerian serta agensi berkaitan untuk memperkukuh pembangunan Dabai Belt dan Empurau Belt di Katibas.
Dabai dan empurau mempunyai potensi ekonomi besar sekiranya dibangunkan secara bersepadu, meliputi aspek pengeluaran, pembiakan, pengurusan sumber, pemprosesan dan pemasaran.
Beliau turut mencadangkan pewujudan konsep Pekan Hijau Song sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan kawasan itu pada masa hadapan.
“Saya melihat Song bukan sekadar sebuah pekan, tetapi berpotensi menjadi pusat perkhidmatan, pendidikan, kesihatan, perdagangan dan kegiatan ekonomi bagi kawasan Katibas.
“Oleh itu, saya mencadangkan supaya konsep pekan hijau dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan Song pada masa hadapan,” ujarnya.
Menurut Lidam, konsep Pekan Hijau Song boleh merangkumi penyediaan ruang awam yang bersih, selesa dan mesra masyarakat, sistem pengurusan sisa yang lebih teratur, penambahan kawasan hijau serta landskap yang bersesuaian.
Cadangan itu turut melibatkan kemudahan pejalan kaki dan persekitaran lebih selamat bagi meningkatkan keselesaan penduduk, sekali gus menjadikan Song sebuah pekan yang lebih terancang, lestari dan berdaya huni.



