KUCHING: Seramai 138 prospek di seluruh Sarawak diberi peluang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dan masyarakat melalui Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).
Program itu melibatkan beberapa institusi penjara di negeri ini dengan Penjara Puncak Borneo mencatatkan seramai 33 prospek, diikuti Penjara Sri Aman (29), Penjara Pusat Sibu (28), Penjara Koreksional Bintulu (20), Penjara Pusat Miri (15) dan Penjara Pusat Limbang (13).
Pengarah Jabatan Penjara Negeri Sarawak, Timbalan Komisioner Penjara Teyun Thian Eim berkata, program tersebut memberi peluang kepada prospek untuk kembali ke masyarakat selepas menjalani tempoh pemulihan di dalam penjara.

“Pelepasan hari ini melibatkan 138 prospek dari seluruh Sarawak, termasuk Limbang, Miri, Bintulu, Sibu, Sri Aman dan Kuching. Di Penjara Puncak Borneo, seramai 33 prospek diberi pelepasan, diikuti Penjara Sri Aman dengan 29 prospek, Penjara Pusat Sibu (28), Penjara Koreksional Bintulu (20), Penjara Pusat Miri (15) dan Penjara Pusat Limbang (13),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program PBSL Ihsan Madani: Kepulangan Yang Dinanti bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 di Penjara Puncak Borneo, hari ini.
Menurutnya, penerimaan keluarga serta sokongan majikan amat penting dalam membantu proses pemulihan banduan agar mereka dapat kembali menjalani kehidupan normal dalam masyarakat.
“Di Sarawak, sokongan keluarga terhadap banduan yang ingin kembali ke masyarakat sangat tinggi berbanding di Semenanjung, yang lebih cenderung untuk menolak mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada majikan yang memberi peluang pekerjaan kepada bekas banduan melalui PBSL.
Tambahnya, kejayaan program tersebut dapat dilihat melalui penurunan kadar residivis yang kini berada pada 12.7 peratus, manakala hanya 0.2 hingga 0.4 peratus bagi mereka yang mendapat sokongan komuniti dan pekerjaan. – TVS


