ARTIKEL

DR MOHAMMAD RAZI menyampaikan Sijil Kecemerlangan kepada salah seorang penerima APC pada Majlis APC dan Jasamu Dikenang 2026 di Debak, semalam.

142 warga pendidikan Betong terima APC 2025, 43 pesara diraikan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Sektor pendidikan menjadi tonggak penting dalam membangunkan kesejahteraan masyarakat, khususnya melalui usaha melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada kemajuan Sarawak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata dedikasi dan komitmen warga pendidik, khususnya kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong, memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan pendidikan terus berkembang secara mampan.

Menurutnya, pendidikan bukan sahaja berperanan melahirkan generasi berilmu, malah membentuk sahsiah, menyemai nilai murni serta membina keseimbangan emosi dalam kalangan generasi muda.

“Justeru, saya berharap seluruh warga pendidikan terus mengekalkan semangat berbakti dan komitmen yang tinggi demi memacu kemajuan sektor pendidikan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis APC dan Jasamu Dikenang 2026 anjuran PPD Betong di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 142 warga pendidikan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2025, manakala 43 pesara turut diraikan sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan khidmat bakti mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.

Mengulas penganugerahan APC, Razi berkata pengiktirafan itu mencerminkan penghargaan kerajaan terhadap mutu kerja, integriti serta komitmen tinggi penjawat awam dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Tegasnya, penghargaan itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada penerima untuk terus meningkatkan prestasi, di samping menjadi inspirasi dan penanda aras kepada rakan sekerja lain.

“Syabas dan tahniah kepada semua penerima APC atas kecemerlangan, daya usaha serta komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas itu turut merakamkan penghargaan kepada pesara pendidikan atas segala jasa dan sumbangan mereka, khususnya dalam mendidik serta membimbing generasi muda di daerah Betong.

Beliau berkata perjalanan panjang dalam perkhidmatan pendidikan bukan sesuatu yang mudah kerana menuntut kecekalan, kesabaran dan keikhlasan dalam melaksanakan tanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau berharap segala pengalaman, jasa dan pengorbanan pesara terus menjadi inspirasi kepada warga pendidikan yang masih berkhidmat untuk meneruskan usaha memperkasa sektor pendidikan demi masa depan generasi akan datang.

Pengarah Pendidikan Sarawak Datuk Omar Mahli dan Pegawai Pendidikan Daerah Betong Anis Madeli turut hadir.

BERITA LAIN

Sukan perlu jadi budaya hidup

BETONG: Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru masyarakat menjadikan sukan sebagai budaya hidup dengan mengamalkan aktiviti fizikal secara konsisten sepanjang tahun,

BERITA TERBARU

Sukan perlu jadi budaya hidup

BETONG: Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru masyarakat menjadikan sukan sebagai budaya hidup dengan mengamalkan aktiviti fizikal secara konsisten sepanjang tahun,