ARTIKEL

GERALD RENTAP, Mordi Bimol serta tetamu lain bergambar kenangan bersama masyarakat di Betong yang menjayakan sambutan HSN Peringkat Sarawak 2026 di Dewan Panglima Rentap, di sini, semalam.

Sukan perlu jadi budaya hidup

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru masyarakat menjadikan sukan sebagai budaya hidup dengan mengamalkan aktiviti fizikal secara konsisten sepanjang tahun, bukan hanya ketika sambutan Hari Sukan Negara (HSN).

Beliau berkata, kejayaan HSN tidak seharusnya diukur dengan jumlah penyertaan semata-mata, sebaliknya menerusi keupayaan masyarakat meneruskan amalan bersukan secara berterusan dalam kehidupan seharian.

GERALD RENTAP ketika menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah pada Majlis Perasmian HSN Peringkat Sarawak 2026 di Dewan Panglima Rentap, di sini, semalam.

“Kejayaan HSN tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah penyertaan semata-mata, sebaliknya bagaimana masyarakat berupaya membudayakan amalan bersukan secara konsisten sepanjang tahun.

“Ia boleh dilaksanakan melalui aktiviti riadah bersama keluarga, program kecergasan komuniti atau penggunaan kemudahan sukan secara optimum,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi amanat yang disampaikan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu pada Majlis Perasmian HSN Peringkat Sarawak 2026 di Dewan Panglima Rentap, di sini, semalam.

Jelasnya, HSN ialah platform penting untuk memperluas penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan, kecergasan dan rekreasi, merangkumi masyarakat di kawasan bandar, luar bandar serta pedalaman.

Sehubungan itu, beliau menyeru ketua jabatan, pemimpin masyarakat, pihak sekolah, majikan dan pertubuhan setempat memainkan peranan aktif dalam menggerakkan penyertaan masyarakat menerusi aktiviti sukan yang bersesuaian dengan keperluan komuniti masing-masing.

Abang Johari turut menegaskan, sukan berperanan penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya melalui penerapan nilai kerjasama, disiplin serta sikap saling menghormati.

Sementara itu, Rentap yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar berkata, sambutan HSN 2026 yang mendapat penyertaan menggalakkan membuktikan sukan mampu menjadi wadah menyatukan masyarakat.

Menurutnya, sukan juga berupaya memupuk disiplin, mengeratkan silaturahim serta menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

“Selaras dengan seruan Premier Sarawak, sukan perlu dimanfaatkan sebagai platform untuk membentuk disiplin, memperkukuh perpaduan dan menyemai gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” tambahnya.

Pada majlis itu, Rentap turut menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah motosikal kepada pemenang sebelum mengadakan lawatan ke pameran agensi kerajaan, gerai jualan dan lokasi aktiviti bersama tetamu kehormat lain.

Pelbagai aktiviti dianjurkan sepanjang sambutan berkenaan, antaranya Larian Ria Madani, Berjalan Ria Madani, Acara Timang Bola Rotan, Eksplorasi Teknologi Betong, Pertandingan Tarik Tali, Pertandingan Ikatan dan Simpulan serta Cabaran e-Sukan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol; Ketua Bahagian Kementerian Belia dan Sukan, Noor Zanariah Mardi; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Lamat Nyalau; Residen Bahagian Betong, Datuk Richard Micheal Abunawas; wakil Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Seroji Ludin serta Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh turut hadir sama.

BERITA LAIN

Golongan muda turut terancam penyakit jantung

KUCHING: Golongan muda kini turut terancam oleh penyakit jantung yang terus menjadi antara masalah kesihatan utama di Malaysia. Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan

BERITA TERBARU

Golongan muda turut terancam penyakit jantung

KUCHING: Golongan muda kini turut terancam oleh penyakit jantung yang terus menjadi antara masalah kesihatan utama di Malaysia. Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan