KUCHING: Seramai 143 kanak-kanak berkeperluan khas berjaya beralih ke pendidikan arus perdana sejak 2022 membuktikan keberkesanan intervensi awal dalam membangunkan potensi mereka secara holistik.
Jumlah itu merupakan 27.6 peratus daripada 519 peserta Pusat Intervensi Awal Sehenti (OSEIC) Sarawak yang telah menamatkan program berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pencapaian tersebut antara hasil paling signifikan daripada pelaksanaan pusat intervensi awal pertama ditubuhkan di bawah kementeriannya.

“Daripada keseluruhan 519 kanak-kanak yang menamatkan program sejak 2022, seramai 143 kanak-kanak berjaya memasuki pendidikan arus perdana.
“Selain itu, seramai 304 kanak-kanak atau 58.6 peratus menyertai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) manakala 72 kanak-kanak atau 13.8 peratus meneruskan pendidikan di Sekolah Pendidikan Khas Kebangsaan (SKPK),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Rasmi Kolaborasi Yayasan Sime Darby dan Pertubuhan Ibu Bapa Kanak-Kanak Keperluan Istimewa Sarawak (PIBAKAT) bagi OSEIC Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya, kejayaan peralihan ke pendidikan arus perdana tidak dicapai secara automatik sebaliknya melalui pendekatan berstruktur merangkumi saringan, intervensi dan sokongan transisi.
“Setiap kanak-kanak menjalani intervensi menerusi Pelan Pembangunan Individu yang diperibadikan dengan keputusan transisi, dibuat berdasarkan tahap kesediaan perkembangan, kemahiran dan kebolehan, bukan semata-mata usia,” jelasnya.
Katanya, pada 2025 sahaja, seramai 222 kanak-kanak berjaya menamatkan program OSEIC dan meneruskan pendidikan mengikut persekitaran pembelajaran paling sesuai dengan keperluan perkembangan masing-masing.
Mengulas lanjut beliau berkata, OSEIC Sarawak diwujudkan bagi memastikan kanak-kanak berkeperluan khas menerima sokongan awal untuk berkembang secara menyeluruh dan mencapai potensi sepenuhnya.
“Kini kita mempunyai dua pusat OSEIC beroperasi iaitu di Kuching dan Dalat manakala pembukaan OSEIC Miri dalam persiapan dan dijangka beroperasi menjelang pertengahan 2026.
“Apa yang bermula dengan hanya 100 kanak-kanak di Kuching kini berkembang dengan ketara,” ujarnya.
Tambahnya, setakat 31 Disember 2025 seramai 745 kanak-kanak menerima perkhidmatan intervensi awal di seluruh Sarawak melibatkan 673 kanak-kanak di Kuching dan 72 kanak-kanak di Dalat.
“Kita mengamalkan dasar pintu terbuka dengan menerima kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah, menunjukkan tanda kelewatan perkembangan walaupun tanpa diagnosis perubatan formal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui OSEIC Sarawak masih berdepan beberapa cabaran utama termasuk senarai menunggu melibatkan 413 kanak-kanak.
Katanya, seramai 180 kanak-kanak belum menerima diagnosis formal, selain kekurangan ahli terapi pertuturan sanggup berkhidmat di pusat berkenaan.
“Justeru, bagi menangani cabaran tersebut sejak Disember 2024. OSEIC Sarawak menjalin kerjasama dengan TOY8 sebuah syarikat penjagaan kesihatan berasaskan kecerdasan buatan dari Jepun.
“Kerjasama ini melibatkan saringan digital ke atas 148 kanak-kanak dengan 22 Pembantu Intervensi Awal diperakui sebagai penyaring, selain program transisi yang menyaksikan empat kanak-kanak berjaya menamatkan program termasuk penempatan di tadika swasta dan tadika AKO.
“Lebih 30 kanak-kanak turut menerima penilaian terapi pertuturan secara dalam talian, manakala seorang ahli terapi pertuturan telah ditempatkan di OSEIC sejak Jun 2025 dengan sasaran menghapuskan senarai menunggu menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Kerajaan Sarawak kekal komited memperluas perkhidmatan OSEIC agar lebih ramai kanak-kanak termasuk di kawasan luar bandar berpeluang mengikuti intervensi awal berkualiti.
“Menjelang 2030 kerajaan merancang menubuhkan sembilan pusat OSEIC baharu di Samarahan, Bintulu, Sri Aman, Lawas, Limbang, Betong, Sibu, Kapit dan Serian,” ujarnya.

