KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meluluskan sebanyak 4,396 Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sejak 2015 dengan nilai keseluruhan RM762.8 juta, melibatkan pelaksanaan projek pembangunan di seluruh negeri.
Daripada jumlah itu, 3,800 projek telah siap manakala 596 lagi masih dalam pelaksanaan, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam meningkatkan kemudahan asas rakyat.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek rakyat bagi memenuhi keperluan komuniti setempat.
Beliau berkata sebanyak 147 projek rakyat bernilai RM1.1 bilion telah diluluskan antara 2018 hingga 2025, dengan 109 projek (74.3 peratus) berjaya disiapkan setakat ini.
Sebanyak 13 projek (8.8 peratus) sedang dalam pembinaan manakala 25 projek (17 peratus) berada pada peringkat pra-kontrak.
“Agensi pembangunan wilayah seperti SADA, BDDA, IRSDA dan RADDA turut menerima peruntukan RM185.9 juta bagi melaksanakan 74 projek tebatan banjir dan saliran yang kini masih berada pada fasa pra-pelaksanaan.
“Kerajaan negeri turut mengambil pendekatan baharu dalam menangani isu banjir di Bintulu dengan melantik firma perunding Denmark, Ramboll, bagi merangka pelan mitigasi moden yang lebih berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan ucapan penggulungan kementeriannya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN), hari ini.
Menurutnya, firma sama sebelum ini telah menyiapkan kajian Pelan Induk Sibu Cloudburst Blue-Green Infrastructure dalam tempoh 49 minggu, membabitkan yuran perundingan melebihi RM7 juta.
Beliau menegaskan bahawa kaedah mendalamkan sungai secara tradisional tidak lagi sesuai kerana kos tinggi, sebaliknya penyelesaian berasaskan alam semula jadi menawarkan pendekatan lebih mampan serta memberi manfaat ekologi dan sosial.
Bagi Projek Tebingan Sungai Debak, katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menjalankan penilaian tapak bagi menyemak skop cadangan serta menyediakan anggaran kos untuk dimasukkan di bawah RMK-13 RP2.
Sementara itu, ujarnya, Projek Tebingan Sungai Mukah dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai Petanak kini berada pada peringkat reka bentuk, manakala Projek Pemuliharaan Tebingan Batang Mukah antara Sungai Penakub dan Sungai Tellian telah memasuki peringkat tender yang ditutup pada 17 Disember 2025.
Beliau berkata, kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) Mukah yang diluluskan di bawah RMK-13 RP1 akan menjadi panduan penting bagi penyelesaian jangka panjang masalah banjir di daerah berkenaan.
“Di Serian, kawasan Bukit Semuja, Taman Melor dan Taman Anggerik termasuk dalam skop RTB Bandar Serian dan Hospital Serian melibatkan kos RM2 juta, yang kini siap reka bentuk dan tender dijangka dipanggil pada suku kedua 2026.
“Selain itu, kajian PISMA Betong, Saratok, Spaoh dan Debak yang siap pada Ogos 2021 turut mengemukakan cadangan jangka panjang untuk pertimbangan dana di bawah RMK-13, memandangkan kawasan berkenaan sering terdedah kepada banjir kerana kedudukannya berhampiran Batang Lupar dan Batang Skrang,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan meluluskan kajian Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Batang Lupar bernilai RM5 juta di bawah RMK-12, yang akan menjadi asas bagi permohonan dana pelaksanaan langkah mitigasi pada masa hadapan.

