ARTIKEL

FOTO fail menunujukkan jururawat, Ruth Jones memegang vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Pusat Penjagaan Kesihatan Borinquen pada 29 Mei 2025 di Miami, Florida. | AFP

15 negeri saman pentadbiran Trump

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LOS ANGELES: Lima belas negeri AS yang ditadbir oleh Demokrat pada Selasa mengumumkan bahawa mereka menyaman pentadbiran Presiden Donald Trump susulan pengurangan bilangan vaksin pediatrik yang disyorkan, yang mereka kritik sebagai bertentangan dengan sains.

Pembaharuan itu, yang diumumkan pada Januari oleh Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS yang diketuai oleh Robert F. Kennedy Jr menyaksikan perubahan terhadap dasar imunisasi negara itu.

Kennedy sebelum ini dikenali sebagai individu yang lama bersikap skeptikal terhadap vaksin.

Menerusi pembaharuan tersebut, AS tidak lagi mengesyorkan supaya semua kanak-kanak menerima imunisasi bagi beberapa penyakit tertentu, termasuk rotavirus, influenza dan COVID-19.

Sebaliknya, tujuh vaksin yang dimaksudkan hanya disyorkan untuk kanak-kanak yang berisiko, satu langkah yang membatalkan cadangan yang disokong secara saintifik selama bertahun-tahun yang mengurangkan penyakit dengan suntikan rutin.

“Setiausaha RFK Jr. dan CDC (Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit) di bawah pentadbirannya telah mengenepikan hasil penyelidikan saintifik selama beberapa dekad, mengabaikan pandangan pakar perubatan yang diyakini, serta berisiko membebankan sumber negeri dan menyebabkan kanak-kanak di Amerika menjadi lebih terdedah kepada penyakit,” kata Peguam Negara California, Rob Bonta.

Beliau mengetuai tuntutan mahkamah tersebut bersama rakan sejawatannya dari Arizona, dalam satu sidang akhbar.

Kennedy dinamakan sebagai defendan dalam kes tersebut, bersama CDC serta Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia.

Vaksin lain yang turut dilucutkan daripada status saranan universal ialah vaksin bagi Hepatitis A, penyakit meningokokal, virus pernafasan sinis (RSV) serta virus Hepatitis B yang sangat mudah berjangkit.

Pengubahsuaian terhadap jadual vaksinasi kanak-kanak oleh Washington itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan komuniti perubatan.

Pentadbiran Trump bulan lalu mempertahankan langkah tersebut dengan menyatakan bahawa ia bertujuan menyelaraskan dasar vaksinasi AS dengan pendekatan negara lain, dengan menjadikan Denmark sebagai contoh.

Bagaimanapun, beberapa pakar kesihatan menegaskan bahawa Denmark merupakan sebuah negara kecil dan relatif homogen, dengan kadar kejadian penyakit yang rendah serta sistem penjagaan kesihatan berpusat yang menjamin akses sejagat kepada perkhidmatan kesihatan.

Keadaan sedemikian tidak terpakai di AS, yang sistem penjagaan kesihatannya sebahagian besar diswastakan, kurang menyeluruh berbanding di Eropah Utara dan telah menyebabkan berjuta-juta rakyatnya tidak mempunyai perlindungan insurans kesihatan.

“Meniru jadual vaksin Denmark tanpa mencontohi sistem penjagaan kesihatannya tidak memberikan lebih banyak pilihan kepada keluarga — sebaliknya hanya menyebabkan kanak-kanak tidak dilindungi daripada penyakit serius,” kata Peguam Negara Arizona, Kris Mayes, pada sidang akhbar tersebut.

Keraguan vaksin telah meningkat di Amerika Syarikat sejak Trump kembali ke jawatan presiden 13 bulan yang lalu.

Kadar vaksinasi telah menurun sejak pandemik COVID-19, menimbulkan kebimbangan tentang kebangkitan semula penyakit maut dan berjangkit seperti campak.

Isu ini semakin dipolitikkan, apabila Gabenor California, Gavin Newsom — seorang pengkritik lantang Trump dan disebut-sebut sebagai bakal calon Presiden pada 2028 — turut menyuarakan pandangannya.

“California akan kembali ke mahkamah kerana pentadbiran Trump melanggar undang-undang persekutuan dan memaksa jadual vaksin kanak-kanak yang melulu dan tidak saintifik, sekali gus membahayakan nyawa kanak-kanak,” kata Newsom dalam satu kenyataan. – AFP

BERITA LAIN

Trump siarkan video lelaki maut akibat harimau

WASHINGTON: Presiden AS Donald Trump memuat naik rakaman yang mengemparkan di akaun Truth Social beliau pada Selasa, memaparkan seorang lelaki di Britain yang maut dibaham

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat

BERITA TERBARU

A. Aida reda filem tiada sambutan

PENERBIT terkenal, Datuk A. Aida menerima dengan hati terbuka hakikat bahawa filem terbitannya, Bisikan Nafsu, tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan selepas mula ditayangkan di

A310 VISION tampil futuristik

ALPINE memperkenalkan A310 Vision, sebuah kereta konsep eksklusif sempena ulang tahun ke-55 pengenalan model kereta sukan A310 pada 1971. Kereta konsep yang dihasilkan dalam satu