KUCHING: Seramai 150 penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak menerima sumbangan sempena sambutan hari lahir ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini.
Penerima yang terdiri daripada 26 lelaki dan 124 wanita, termasuk warga emas, ibu tunggal dan kanak-kanak, masing-masing menerima wang tunai RM100 berserta hamper.

Wang tunai itu disediakan oleh Astana Negeri Sarawak, manakala hamper yang ditaja oleh PETROS dan Lembaga Pelabuhan Bintulu diberikan sebagai bantuan tambahan kepada penerima.
Majlis jamuan teh itu turut menyaksikan Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi memotong pulut kuning sebagai simbol kesyukuran sempena sambutan hari lahir beliau.
Tetamu turut disajikan dengan tayangan video khas bertajuk Bukan Sekadar Seorang Pemimpin yang mengetengahkan sisi peribadi Tun Wan Junaidi sebagai ketua keluarga dan pemimpin yang dekat di hati rakyat.
Sambutan itu juga dimeriahkan dengan persembahan tarian Dirgahayu Kesuma Tuan Yang Terutama oleh Artis Tari Majlis Seni Sarawak, petikan sape oleh Frederick serta persembahan nyanyian oleh Abang Hafidz, Mieysanisha dan Bob Yusof diiringi Star Fourpiece Band.
Pada majlis sama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan itu, Datuk Seri Julaihi Narawi, menyampaikan cenderahati kepada Tun Wan Junaidi dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, pula menyampaikan cenderahati kepada Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah dan anakanda Premier Sarawak, Dayang Norjihan.


