ARTIKEL

Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar dan Fatimah menyempurnakan Perasmian Kolaborasi Yayasan Sime Darby dan PIBAKAT bagi OSEIC Sarawak, di Kuching, hari ini.

1,500 Kanak-Kanak Autisme Bakal Terima Sinar Baharu Menjelang 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sekurang-kurangnya 1,500 kanak-kanak autisme di negeri ini dijangka menerima manfaat daripada perkhidmatan intervensi awal menerusi pelaksanaan Pusat Intervensi Awal Sehenti (OSEIC) Sarawak menjelang November 2026.

Pengerusi Yayasan Sime Darby (YSD), Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar berkata, sasaran tersebut bakal dicapai hasil kolaborasi strategik antara YSD dengan Pertubuhan Ibu Bapa Kanak-Kanak Keperluan Istimewa Sarawak (PIBAKAT).

“Daripada jumlah tersebut, seramai 600 kanak-kanak yang telah berdaftar dengan OSEIC akan menerima perkhidmatan intervensi awal dipertingkatkan melalui pelaksanaan latihan tenaga sokongan yang lebih sistematik dan berstruktur.

“Bagi merealisasikan sasaran ini, YSD memperuntukkan RM350,000 bagi melatih 30 pembantu intervensi awal di bawah OSEIC menerusi program Sijil Eksekutif intensif bersama Institut Teknologi Pemindahan Australia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kolaborasi Yayasan Sime Darby dan PIBAKAT bagi OSEIC Sarawak di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah.

Tunku Tan Sri Imran berkata, inisiatif tersebut bertujuan mengasah kemahiran pembantu dalam bidang intervensi awal autisme, sekali gus meningkatkan kapasiti perkhidmatan dan memperluas capaian kepada golongan sasar di seluruh negeri.

Selain itu, beliau memaklumkan seramai 60 guru dan penjaga turut akan dilengkapkan menerusi sesi latihan jurulatih bagi memperluas impak program ke peringkat isi rumah serta pusat autisme berkaitan.

“Menjelang pertengahan tahun ini, pembantu terlatih berkenaan akan ditempatkan di cawangan baharu OSEIC di Miri, yang dijangka memberi manfaat kepada 300 lagi kanak-kanak autisme.

“Perkhidmatan ini seterusnya dirancang untuk diperluas ke sembilan daerah antara tahun 2028 hingga 2030,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan OSEIC merupakan kerjasama pertama di Sarawak di bawah komponen SALAM Autisme YSD yang dilancarkan pada April 2025 oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“OSEIC melengkapi usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti dalam memperluas akses serta menambah baik perkhidmatan intervensi awal untuk kanak-kanak autisme.

“Inisiatif ini akan diperluaskan ke kawasan luar bandar selari dengan teras Komuniti dan Kesihatan YSD yang memberi tumpuan kepada pengukuhan daya tahan sosial serta kesejahteraan inklusif, di samping menyokong visi Sarawak,” katanya.

Dengan sokongan berterusan Kerajaan Sarawak, beliau menegaskan PIBAKAT dan semua rakan strategik akan memastikan lebih ramai kanak-kanak menerima intervensi awal yang berkualiti dan tidak tercicir daripada sistem sokongan.

Dalam pada itu, beliau menambah YSD merupakan rakan pembangunan yang konsisten di Sarawak selama lebih sedekad menerusi pelbagai inisiatif melibatkan pendidikan, alam sekitar, komuniti dan kesihatan serta seni dan budaya dengan jumlah sumbangan melebihi RM60 juta.

“Kolaborasi ini merupakan sebahagian daripada Program SINAR YSD yang dibiayai di bawah Belanjawan MADANI oleh Kementerian Kewangan, dengan matlamat menangani dua cabaran sosial utama iaitu kehamilan remaja dan autisme.

“Sejak diperkenalkan pada Disember 2024, program ini memberi manfaat kepada lebih 22,000 individu termasuk ibu remaja, gadis berisiko, kanak-kanak autisme serta keluarga rentan menerusi 14 inisiatif berimpak tinggi di seluruh negara,” jelas beliau.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU