ARTIKEL

Wee mengadakan lawatan semasa Program Baucar Barangan Keperluan Warga Emas MBKS 2026, hari ini.

1,500 warga emas MBKS terima baucar barangan keperluan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 1,500 warga emas di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menerima baucar barangan keperluan bernilai RM30 menerusi Program Baucar Barangan Keperluan Warga Emas MBKS 2026 yang dilaksanakan di lima pasar, hari ini.

Program bersempena Pesta Kuih Bulan itu bukan sahaja membantu warga emas mendapatkan barangan keperluan harian, malah memberi manfaat kepada penjaja dan peniaga kecil tempatan menerusi peningkatan perniagaan di pasar terbabit.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, berkata program berkenaan merupakan sebahagian usaha MBKS menjaga kebajikan warga emas selain mewujudkan bandar raya yang lebih mesra golongan berkenaan.

“Warga emas kita telah banyak menyumbang kepada keluarga, komuniti serta pembangunan Kuching Selatan.

“Justeru, program ini merupakan satu usaha kecil untuk menunjukkan penghargaan kepada mereka dan mengingatkan bahawa mereka kekal sebagai sebahagian penting dalam bandar raya kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, katanya, pelaksanaan program di pasar MBKS juga bertujuan memastikan manfaat bantuan berkenaan turut dirasai peniaga tempatan yang telah lama menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan.

Jelasnya, pasar merupakan sebahagian daripada kawasan kejiranan dan kehidupan harian kita.

Ramai penjaja telah berniaga di sini selama bertahun-tahun.

“Kita mahu program ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Warga emas menerima sedikit bantuan untuk keperluan harian mereka, manakala penjaja turut menerima manfaat menerusi peningkatan perniagaan,” katanya lagi.

Menurutnya, perbelanjaan menggunakan baucar berkenaan akan disalurkan terus kepada komuniti setempat, selain menggalakkan orang ramai kembali ke pasar dan menyokong peniaga tempatan.

Dalam lawatan itu, Wee turut berinteraksi dengan warga emas dan penjaja bagi mendapatkan maklum balas mengenai pelaksanaan program berkenaan.

“Saya datang awal pagi ini kerana mahu melihat sendiri keadaan sebenar dan mahu memastikan proses penebusan berjalan lancar dan warga emas kita tidak menghadapi kesukaran yang tidak sepatutnya.

“Lebih penting, saya mahu bertemu mereka sendiri dan mendengar pandangan mereka,” katanya.

Ujarnya, program berkenaan turut selaras dengan komitmen MBKS untuk membangunkan Kuching Selatan sebagai bandar raya mesra warga emas.

Sehubungan itu, Kuching Selatan menyertai Rangkaian Global Bandar dan Komuniti Mesra Usia Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Oktober 2024, manakala MBKS terus memperkenalkan program praktikal bagi menggalakkan warga emas kekal aktif, berhubung dengan masyarakat dan terlibat dalam komuniti.

Pengalaman serta maklum balas yang diperoleh menerusi program itu akan dijadikan panduan bagi menambah baik pelaksanaan inisiatif seumpamanya pada masa akan datang.

“Bandar raya yang mesra warga emas bukan hanya berkaitan dengan kemudahan dan prasarana, tetapi cara kita menjaga warga emas serta memastikan mereka terus menjadi sebahagian daripada komuniti.

“Pada masa sama, program ini turut membantu penjaja tempatan dan mengukuhkan peranan pasar, sekali gus memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh komuniti,” jelasnya lagi.

Tambahnya, MBKS akan terus melihat kepada pelaksanaan program praktikal yang memberi manfaat kepada rakyat dalam usaha menjadikan Kuching Selatan sebuah bandar raya yang prihatin dan inklusif untuk semua peringkat umur.

Terdahulu, penebusan baucar berlangsung di Pasar Petanak, Pasar Komuniti Stutong, Pasar Bintawa, Pasar Sungai Apong dan Pasar Kenyalang.

Para penerima menggunakan baucar berkenaan untuk membeli barangan keperluan harian dan hasil segar daripada peniaga yang mengambil bahagian.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU