155 pemain buru tempat skuad S’wak United FC II

SEJUMLAH 155 pemain dari seluruh Sarawak menyertai sesi pemilihan terbuka pasukan Sarawak United FC II di Stadium Negeri Petra Jaya Kuching pagi semalam. Sarawak United FC II akan bersaing dalam Liga M3 2020.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais amat terkejut dengan sambutan luar biasa itu yang pada mulanya hanya menyasarkan sekitar 40 pemain yang hadir.

“Saya langsung tidak menjangka seramai ini yang datang (155 pemain). Ini bermakna, masih ramai pemain tempatan kita untuk menyertai pasukan Sarawak.

“Ia empat kali ganda lebih banyak daripada jangkaan awal kami,” kata Posa ketika ditemui Suara Sarawak.

Bagaimanapun, menurutnya, hanya 15 hingga 30 pemain akan dipilih. Keutamaan akan diberikan kepada pemain tempatan.

Selain dari Kuching, Miri, Bintulu, Samarahan, Lundu, Sarikei dan Sri Aman, terdapat juga pemain dari Sabah dan Melaka untuk mencuba nasib.

Menurut Posa pasukan Sarawak Unted FC II akan berpangkalan di Selangor, sebagai gelanggang utama. Katanya, ia bertujuan utuk menjimatkan kos, kerana semua pasukan yang ditentang adalah dari Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke Kuching sebagai gelanggang jika pasukan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

“Kita akan tengok dahulu prestasi mereka… jika boleh menang lima atau enam perlawanan awal, maka kita akan pertimbangkan untuk berpindah ke Kuching,” kata Posa.

Suara Sarawak