KUCHING: Seramai 156 pemain golf veteran dari enam negara bakal berentap dalam Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) 2026 yang julung kali dianjurkan di Kelab Golf Sarawak (KGS).
Kejohanan pada 24 dan 25 Oktober tersebut menghimpunkan peserta dari Brunei, Indonesia, Singapura, Korea Selatan, Jepun dan Malaysia, termasuk dari Semenanjung Malaysia, Sabah serta Sarawak yang bersaing dalam kategori masing-masing.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran sulung itu membuka peluang baharu kepada Sarawak untuk meneroka pasaran pelancongan sukan khususnya dalam kalangan pemain.

“Kita mempunyai 156 peserta yang digelar ‘Golden Legends’ dari enam negara dan saya gembira kerana kejohanan ini memberi peluang kepada golongan veteran untuk terus aktif serta bersaing,” katanya pada sidang media SISAGC 2026, di sini, hari ini.
Menurutnya, sukan golf semakin berkembang di Sarawak dengan sokongan kerajaan negeri, termasuk hasrat memperluas kemudahan sukan berkenaan bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dan menarik lebih banyak pertandingan antarabangsa.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur SISAGC 2026 merangkap pengasas Borneo SuperAct Events, Datuk Eddie Abdullah berkata, kejohanan tersebut dirangka sebagai produk pelancongan sukan berimpak tinggi yang mampu menarik kedatangan ramai pemain dan pengunjung antarabangsa.
Eddie turut menghargai sokongan kerajaan Sarawak menerusi geran pelancongan acara yang disifatkannya sebagai pemangkin utama kepada penganjuran kejohanan bertaraf Asia itu.
Kejohanan khusus pemain amatur itu menawarkan hadiah keseluruhan sehingga RM22,000 menerusi pertandingan format pukulan 36 lubang sepanjang dua hari, dengan empat kategori lelaki berusia 55 tahun ke atas serta tiga kategori wanita bermula usia 50 tahun.
Selain menyediakan medan persaingan kepada pemain veteran, penganjuran itu dijangka memberikan manfaat kepada sektor penginapan, makanan, pengangkutan dan perkhidmatan pelancongan menerusi kedatangan peserta dari luar Sarawak.
<-TAMAT->



