KUCHING: Pelaksanaan Indeks Kesejahteraan Kanak-Kanak Sarawak (SCWI) sebagai garis dasar multidimensi pertama oleh UNICEF mampu membantu kerajaan negeri memantau perkembangan serta merangka dasar yang lebih responsif dengan keperluan kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, UNICEF menjalankan tinjauan terhadap 3,124 kanak-kanak di Sarawak bagi menilai kesejahteraan mereka berdasarkan tujuh dimensi utama termasuk ekonomi, pendidikan dan pembangunan serta sosial, emosi dan budaya.
“Ia melibatkan tinjauan kesihatan dan pemakanan, hubungan keluarga dan rakan sebaya, keselamatan dan perlindungan serta akses kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” katanya pada sidang media berkenaan SCWI di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.
Dalam pada itu, dapatan SCWI menunjukkan beberapa aspek kesejahteraan kanak-kanak berada pada tahap positif, namun jurang masih wujud dalam penguasaan kemahiran asas, akses kepada kemudahan asas, peluang beriadah dan keselamatan persekitaran.
Melihat kepada aspek pendidikan dan pembangunan, lebih satu daripada tiga kanak-kanak tidak mencapai tahap ditetapkan dalam pemahaman masalah matematik, manakala satu daripada empat tidak mencapai tahap literasi yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, 95.5 peratus kanak-kanak melaporkan mereka gembira dengan perkara yang dipelajari, 94.6 peratus tinggal pada jarak yang boleh diterima dari sekolah dan lebih 91 peratus menyertai aktiviti sekolah,” jelasnya.
Bagi kesejahteraan ekonomi pula, beliau mendedahkan 86 peratus kanak-kanak memenuhi akses elektrik, manakala 82 peratus memenuhi akses air bersih.
Namun, hampir satu daripada lima kanak-kanak masih belum mencapai akses air bersih, dengan jurang geografi ketara khususnya di bahagian Kota Samarahan dan Miri.
Manakala, sebanyak 40.7 peratus kanak-kanak tidak mencapai masa beriadah berdasarkan tinjauan dari aspek kesejahteraan sosial, emosi dan budaya.
“Hasil menunjukkan kekurangan peluang untuk rekreasi, hobi, bermain dan pembangunan kendiri di luar waktu persekolahan serta tanggungjawab di rumah,” ujarnya.
Dalam aspek kesihatan dan pemakanan, 98 peratus kanak-kanak mempunyai bekalan makanan mencukupi, 87.8 peratus menikmati diet yang pelbagai, manakala 86 peratus mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Bagaimanapun, 25.7 peratus kanak-kanak berusia sifar hingga dua tahun tidak mencapai pemeriksaan kesihatan berkala, manakala hampir 30 peratus tidak mempunyai seseorang untuk diajak berbincang ketika berasa kesunyian.
“Bagi hubungan keluarga dan rakan sebaya, sekitar satu daripada enam kanak-kanak berusia sifar hingga empat tahun tidak mendapat interaksi berasaskan permainan secara berkala bersama penjaga.
“Selain, aspek keselamatan dan perlindungan melaporkan 97 peratus kanak-kanak tidak terdedah kepada keganasan, namun 49 peratus kanak-kanak kecil tidak mencapai keselamatan fizikal di rumah dan persekitaran harian mereka,” katanya.
Sementara itu, hampir separuh kanak-kanak bersekolah masih tidak mempunyai akses mencukupi kepada peranti pembelajaran, khususnya remaja lebih berusia serta kanak-kanak di bahagian Sri Aman dan Serian.
“Dapatan tersebut menyediakan asas kepada kerajaan negeri untuk mengenal pasti jurang kesejahteraan mengikut aspek dan kawasan, sekali gus menyokong perancangan intervensi serta pembentukan dasar yang lebih bersesuaian dengan keperluan kanak-kanak di Sarawak,” katanya.




