KUCHING: Sebanyak RM21.8 bilion telah dibelanjakan di bawah inisiatif Pembiayaan Alternatif, melibatkan sejumlah 1,586 projek, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 1,127 projek atau 71 peratus sudah siap, manakala 459 projek lagi berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.
“Kita memperkenalkan inisiatif ini bagi memastikan projek infrastruktur kritikal dapat diteruskan dan dipercepatkan sambil mengekalkan kedudukan fiskal negeri, sekali gus menjadi pemangkin utama pembangunan dan memacu ekonomi menuju status berpendapatan tinggi.
“Model pembiayaan ini membolehkan kita membuka peluang pelaburan besar yang menyokong akses luar bandar, meningkatkan keterhubungan dan pertumbuhan ekonomi serta daya saing jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua pada Persidangan DUN Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Tambahnya, antara yang sedang dilaksanakan di bawah inisiatif tersebut termasuk pembinaan jalan pesisir dan jalan utama kedua, grid bekalan air, skim elektrifikasi luar bandar, sistem pengangkutan bandar Kuching, pembinaan menara telekomunikasi luar bandar, pembangunan kemudahan pendidikan serta projek di bawah pelbagai agensi pembangunan wilayah.
Menyentuh dakwaan ADUN Padungan, Chong Chieng Jen kononnya angka defisit tidak mengambil kira perbelanjaan di bawah Pembiayaan Alternatif 2026, Uggah menegaskan bahawa tuduhan itu bukan sahaja mengelirukan malah tidak tepat.
“Beliau telah mencampuradukkan perbelanjaan mengurus, perbelanjaan pembangunan dan projek di bawah pembiayaan ini sehingga menghasilkan kesimpulan yang keliru dan tidak benar.
“Tanggapan ini sama sekali tersasar. Pinjaman untuk pembangunan merupakan amalan biasa, strategik dan bertanggungjawab, diamalkan oleh negara ekonomi maju seperti Jepun, Korea Selatan, Singapura dan China.
“Melambatkan pembangunan infrastruktur hanya menambah kos jangka panjang. Jadi, kenapa ADUN Padungan begitu alergik kepada pembangunan? Adakah beliau antipembangunan?” soalnya.
Menurut Uggah, setiap kali Sarawak membina jalan raya, sistem bekalan air, infrastruktur digital, Transit Aliran Automasi (ART) atau fasiliti hidrogen, ADUN Padungan pasti menjerit dengan dakwaan muflis.
“Jika kita mendengar cakap beliau lima tahun lalu, tidak akan ada Lebuh Raya Pan Borneo, tiada pengembangan ekonomi digital, industri hidrogen, projek ART, inisiatif transformasi luar bandar dan jambatan yang menghubungkan komuniti kita.
“Sarawak pasti jauh ketinggalan dan rakyat tidak akan menikmati hasil pembangunan hari ini. Benar, beliau memang konsisten, tetapi konsisten menentang kemajuan.
“Mungkin sebab itulah beliau tidak pernah diberi apa-apa peranan penting atau kedudukan menteri dalam kerajaan Persekutuan, walaupun pernah diberi peluang sebagai timbalan menteri selama sembilan bulan,” tegasnya. Katanya lagi, malah kewangan Sarawak terus kukuh, teratur dan diiktiraf di peringkat antarabangsa di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Jika ADUN Padungan melihat pembangunan sebagai hutang, maka jelas mengapa beliau tidak pernah dipercayai untuk membina apa-apa.
“Kita tidak akan membiarkan naratif berasaskan ketakutan menghalang kemajuan, sebaliknya terus membina, berkembang dan memastikan Sarawak makmur serta bersedia untuk masa depan generasi baharu,” katanya lagi.



