BARU-BARU ini berlaku insiden tragis apabila seorang pelajar perempuan ditemui mati didakwa dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor.
Pelajar tingkatan empat itu ditemui dalam keadaan terlentang berlumuran darah di dewan sekolah oleh rakan, ibu saudara dan nenek mangsa ketika usaha pencarian dilakukan.
Dilaporkan, cinta tidak berbalas dipercayai menjadi antara motif kejadian.
Kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis. Kes ini juga menjadi topik hangat sepanjang minggu yang menekankan aspek keselamatan di sekolah. Sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk pelajar.
Pun begitu, selain aspek keselamatan pelajar, perkara yang boleh diberi perhatian ialah konflik cinta atau hubungan.
Dalam minggu sama, seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun ditemui maut disyaki dibunuh di sebuah bilik sewa di Kuantan.
Menurut laporan media, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di antara mangsa dengan teman lelakinya.
Lelaki terbabit ditahan di lokasi kejadian dan siasatan masih dijalankan.
Pada tahun lepas juga, terdapat kes tikam pelajar perempuan berusia 16 tahun hingga maut di Petaling Jaya, juga dikaitkan dengan dakwaan cinta ditolak pada awal siasatan.
Tindakan hilang pertimbangan akibat cinta ini bukan untuk dikupas, boleh jadi ia motif utama atau dakwaan bagi siasatan lanjut.
Dalam filem klasik Melayu juga pernah memaparkan babak tindakan cinta ditolak apabila ibu Cik Salmah memutuskan pertunangan anaknya dengan samseng Kampung Dusun, Sarip Dol.
Sarip Dol bertindak membakar rumah Cik Salmah yang menjadi klimaks filem Seniman Bujang Lapok.
Walaupun sekadar babak filem pada 1961, namun ia memberi gambaran tindakan nekad seseorang apabila cinta ditolak.
Situasi ini seolah-olah bukan perkara asing apabila beberapa kes direkodkan dengan siasatan bermula dengan motif cinta atau cemburu.
Malah, dah berkahwin pun hilang pertimbangan boleh membawa kepada perkara mudarat.
Satu kejadian pertikaian berkaitan perceraian menjadi punca seorang jururawat berusia 44 tahun ditikam enam kali oleh suaminya di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, Kadok, baru-baru ini.
Siasatan awal polis mendapati suspek berusia 47 tahun tidak berpuas hati dengan keputusan isterinya untuk memfailkan perceraian.
Kawal emosi
Persoalannya, mengapa kekecewaan dalam hubungan boleh mendorong seseorang bertindak agresif?
Secara umumnya, ada individu yang sukar menerima penolakan atau perpisahan. Apabila kehendak tidak dipenuhi, kekecewaan bertukar menjadi kemarahan, manakala kemarahan pula boleh mempengaruhi perbuatan.
Marah merupakan sifat semula jadi dalam diri kita, namun pertimbangan akan menentukan perbuatan.
Dalam keadaan emosi memuncak, kemampuan mengawal diri menjadi sangat penting. Cuba keluar daripada pertelingkahan agar fikiran lebih rasional.
Dalam Islam kita diajar untuk mengawal emosi dan tidak menurut amarah.
Kalau marah sewaktu sedang berdiri, kita duduk. Kalau masih marah, kita berbaring.
Malah mungkin ada yang terus tidur. Yang penting jangan ‘layan’ perasaan marah tersebut.
Jangan buat keputusan ketika marah. Tunggu 10 minit sebelum berkata-kata. Orang kata marah hanya 10 minit, selebihnya ego.
Mungkin dengan bertenang 10 minit boleh menyelamatkan hubungan yang telah terjalin 10 tahun.
Kita tidak mampu menghalang semula konflik daripada berlaku, tetapi kita boleh memiliki cara untuk menghadapinya. Perasaan marah mungkin datang tanpa diduga, namun tindakan selepas itu tetap memerlukan pertimbangan.
Cinta tidak memberikan seseorang hak untuk memiliki, apatah lagi menyakiti.
Penolakan bukan penghinaan yang perlu dibalas, manakala perpisahan bukan alasan untuk meragut kebahagiaan orang lain.
Hakikatnya, ketenangan bukan bererti kita tidak pernah marah, tetapi kita mampu mengawal diri ketika kemarahan menguasai perasaan.
Apabila marah berjaya diredakan, fikiran menjadi lebih jernih, pertimbangan lebih rasional dan keputusan dapat dibuat tanpa dikuasai amarah. Memilih untuk berdiam diri, berundur seketika dan bertenang bukan tanda lemah, sebaliknya bukti kekuatan diri.



