ARTIKEL

Mazli bergambar bersama graduan YTP

16 Graduan Cemerlang Kini Jadi Nadi Utama Mobiliti Bandar Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd terus memperkukuh pembangunan bakat tempatan menerusi majlis graduasi 16 perantis Program Bakat Muda (YTP) yang menandakan pencapaian signifikan dalam usaha melahirkan tenaga pakar kejuruteraan bagi industri pengangkutan awam di negeri ini.

Kesemua graduan merupakan kohort ketiga YTP yang berjaya menamatkan program perantisan intensif selama dua tahun di bawah inisiatif Program Pembangunan dan Pemerkasaan Sosioekonomi (SEED).

Menurut kenyataan Sarawak Metro, sejak diperkenalkan pada tahun 2021, YTP telah memberi peluang kepada 41 jurutera muda tempatan dan kini menghampiri sasaran asal pengambilan seramai 50 perantis.

“Pada masa sama, seramai 17 lagi perantis sedang mengikuti latihan dan dijangka menamatkan program masing-masing menjelang hujung tahun ini,” jelas kenyataan itu.

Lebih membanggakan, kesemua 16 graduan terbabit kini diserap secara rasmi sebagai kakitangan sepenuh masa di Sarawak Metro.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa berkata, kejayaan menamatkan program tersebut mencerminkan komitmen serta ketekunan tinggi para peserta dalam menempuh latihan yang mencabar.

“Menamatkan perantisan selama dua tahun bukan satu pencapaian kecil. Saya kagum dengan ketabahan, komitmen dan kesungguhan anda semua.

“Ketika projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) memasuki fasa kritikal, peranan anda amat signifikan dalam memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan menepati jadual,” katanya ketika berucap pada majlis graduasi tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jurutera dan pakar berpengalaman yang bertindak sebagai mentor, sambil menegaskan bahawa pemindahan ilmu serta bimbingan profesional merupakan teras kejayaan program berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Program SEED, Alexius Barieng berkata, kumpulan graduan terbaharu itu mencerminkan kepelbagaian serta pengkhususan tinggi profesional muda dalam aspek integrasi sistem, kelestarian, keselamatan dan pendigitalan.

“Mereka bukan sekadar menyokong projek, malah membantu membentuk masa depan mobiliti bandar di Sarawak.

“Perjalanan mereka membuktikan komitmen Sarawak Metro dalam melahirkan bakat yang bersedia industri dan berdaya saing di peringkat global bagi ekosistem pengangkutan baharu ini,” ujarnya.

Pada majlis sama, Mazli menyampaikan sijil serta jaket khas kepada para graduan sebagai simbol tamat latihan.

Anugerah Perantis Terbaik diberikan kepada Afiqah Mohammed Yunus, manakala Anugerah Mentor Terbaik dimenangi oleh Ahmad Yusri Ahmad Yusuf.

Sepanjang program, perantis didedahkan dengan pelbagai disiplin teknikal merangkumi sistem tren, kerja awam, kejuruteraan operasi, sistem isyarat, komunikasi, bas pengantara hidrogen serta jaminan sistem.

Mereka turut terlibat secara langsung dalam pencapaian teknikal utama projek KUTS termasuk pemeriksaan artikel pertama, ujian penerimaan kilang, pemeriksaan pasca pemasangan dan pemeriksaan pra-penghantaran.

Selain itu, perantis terpilih dihantar menjalani penempatan bersama pengeluar peralatan asal (OEM) bagi mengikuti semakan reka bentuk awal serta ujian prototaip kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) berkuasa hidrogen.

Inisiatif tersebut selari dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk memperkasa tenaga kerja tempatan dalam sektor pengangkutan moden yang lebih mampan dan berteknologi tinggi.

BERITA LAIN

Kompleks UNIFOR lambang keharmonian Sarawak

KUCHING: Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Kuching melambangkan identiti Sarawak yang mengutamakan keharmonian dan sikap saling menghormati dalam membina masa depan negeri.

Kebebasan beragama perlu disertai tanggungjawab

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus menghormati dan melindungi kebebasan beragama bagi memastikan rakyat dapat mengamalkan agama masing-masing dalam suasana aman dan harmoni. Premier Datuk Patinggi

BERITA TERBARU

Kompleks UNIFOR lambang keharmonian Sarawak

KUCHING: Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Kuching melambangkan identiti Sarawak yang mengutamakan keharmonian dan sikap saling menghormati dalam membina masa depan negeri.

Kebebasan beragama perlu disertai tanggungjawab

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus menghormati dan melindungi kebebasan beragama bagi memastikan rakyat dapat mengamalkan agama masing-masing dalam suasana aman dan harmoni. Premier Datuk Patinggi