ARTIKEL

CENDERAHATI… Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mohamad Zainal Abdullah menerima cenderahati daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Saifullizan Ishak, pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

16 Jawatan Ketua Polis Daerah di Sarawak Dicadang Dinaik Taraf

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Empat daripada 16 jawatan Ketua Polis Daerah (KPD) yang dicadangkan untuk dinaik taraf di Sarawak menerima peningkatan gred perjawatan daripada Deputi Superintenden Polis (DSP) kepada Superintenden Polis (SUPT).

Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, kenaikan taraf itu melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah, Lubok Antu, Betong dan Lawas sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh struktur kepimpinan polis di negeri ini.

Menurutnya, cadangan menaik taraf 16 jawatan KPD berkenaan sedang diberikan perhatian bagi memastikan struktur perjawatan seiring dengan pertambahan tanggungjawab dan cabaran keselamatan yang semakin kompleks di peringkat daerah.

“Pelaksanaan inisiatif itu bukan sekadar melibatkan perubahan pangkat yang diperuntukkan bagi sesuatu jawatan, sebaliknya bertujuan meningkatkan keupayaan pentadbiran dan kewibawaan kepimpinan dalam mengurus keperluan keselamatan setempat.

“Setakat ini, empat daerah berjaya dinaik taraf, iaitu IPD Mukah, IPD Lubok Antu, IPD Betong dan IPD Lawas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Dewan Mes Pegawai Kanan Polis, IPK Sarawak, di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, usaha menaik taraf jawatan selebihnya akan diteruskan secara berperingkat dengan mengambil kira keperluan organisasi, penelitian serta kelulusan pihak berkaitan.

Menurutnya, penyesuaian struktur kepimpinan penting bagi memastikan setiap daerah mempunyai kapasiti pengurusan yang bersesuaian dengan skop tanggungjawab serta cabaran keselamatan masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Jabatan Pengurusan PDRM turut merangka beberapa inisiatif penambahbaikan bagi memperkukuh pengurusan sumber manusia dan meningkatkan keupayaan organisasi secara menyeluruh.

Katanya, tumpuan diberikan kepada pengukuhan struktur perjawatan, pembangunan kerjaya, peningkatan kompetensi, pengurusan bakat serta kebajikan pegawai dan anggota polis.

Beliau turut menekankan kepentingan perancangan penempatan anggota yang lebih strategik, memastikan pembangunan kemahiran dan penggunaan sumber sedia ada dilaksanakan mengikut keperluan sebenar pasukan.

Mohamad Zainal berkata, keupayaan sesebuah pasukan keselamatan tidak hanya bergantung pada jumlah anggota atau aset yang dimiliki, sebaliknya turut ditentukan kualiti modal insan yang kompeten, berintegriti dan mempunyai komitmen tinggi dengan tugas.

“Saya mahu kerjasama antara Jabatan Pengurusan dengan kepimpinan Kontinjen Sarawak terus diperkukuh bagi memastikan agenda penambahbaikan organisasi dapat diterjemahkan melalui mutu penyampaian perkhidmatan kepolisan yang lebih berkesan,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada DCP Zailanni Amit atas pelantikan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak serta berharap kerjasama beliau dengan Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Saifullizan Ishak dapat memperkukuh kesinambungan kepimpinan dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU