KUCHING: Penampilan 11 muka baharu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 memperlihatkan berlakunya proses pembaharuan kepimpinan, meskipun pada skala yang lebih kecil berbanding pilihan raya sebelumnya.
Timbalan Dekan (hal ehwal pelajar dan alumni) FSSK UNIMAS Dr. Nur Auni Ugong berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengetengahkan 24 muka baharu (29.3 peratus) pada PRU Sarawak ke-12, berbanding 13.4 peratus pada pilihan raya kali ini.
“Pengurangan bilangan muka baharu daripada 24 kepada 11 orang boleh ditafsirkan sebagai peralihan kepada pembaharuan kepimpinan secara lebih terpilih dan berperingkat,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Menurutnya lagi, pembaharuan kepimpinan merupakan sebahagian daripada proses penginstitusian politik, iaitu bagaimana sesebuah organisasi membina mekanisme yang membolehkannya terus berfungsi dan berkembang melangkaui kebergantungan kepada individu tertentu.
“Sesebuah institusi politik yang mampan bukan sahaja bergantung kepada kewibawaan pemimpin semasa, tetapi juga kepada keupayaannya melahirkan generasi kepimpinan seterusnya.
“Angka tersebut sahaja tidak memadai untuk menentukan keberkesanan strategi pemilihan calon tanpa mengambil kira rekod prestasi penyandang, profil calon baharu dan mekanisme pemilihan yang digunakan,” katanya.
Menurutnya lagi, tanpa proses penggantian kepimpinan yang sistematik, sesebuah organisasi berisiko mengalami ketandusan bakat kepimpinan apabila berlaku perubahan generasi.
Dalam konteks ini katanya, gabungan antara pemimpin berpengalaman dengan muka baharu berpotensi mewujudkan satu bentuk kesalinglengkapan kepimpinan.
“Pemimpin berpengalaman membawa kematangan pertimbangan, pengetahuan institusi, pengalaman pentadbiran serta jaringan hubungan dengan masyarakat yang terbina sejak sekian lama.
“Manakala, muka baharu berpeluang menyumbang perspektif, kepakaran dan pendekatan berbeza dalam menangani permasalahan masyarakat yang semakin kompleks,” ujarnya.
Namun, pembaharuan politik tidak seharusnya difahami semata-mata sebagai pertukaran individu.
“Pembaharuan yang lebih substantif perlu melibatkan transformasi pemikiran, budaya kerja, pendekatan penyelesaian masalah, kecekapan penyampaian perkhidmatan serta keterbukaan pandangan masyarakat.
“Dalam erti kata lain, wajah baharu perlu hadir bersama dengan nilai tambah kepimpinan, manakala pengalaman pemimpin terdahulu perlu sentiasa disertai kesediaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menggariskan bahawa perbezaan dua pilihan raya ini menarik kerana kedua-duanya berlangsung dalam konteks politik dan pembangunan yang berbeza.
Jelasnya, PRU Sarawak ke-12 merupakan pilihan raya negeri pertama yang disertai GPS atas identitinya sendiri selepas pembentukan gabungan tersebut pada 2018.
“Ketika itu, pembaharuan komposisi calon berlaku dalam suasana penyesuaian institusi politik, ketidaktentuan ekonomi dan sosial akibat pandemik COVID-19.
“Manakala, pilihan raya kali ini pula berlangsung dalam persekitaran yang lebih tertumpu kepada kesinambungan pelaksanaan dasar, pengukuhan institusi dan penilaian keberhasilan agenda pembangunan negeri,” katanya.

