KUCHING: Pemilihan sebagai calon baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro disifatkan sebagai satu amanah besar yang perlu dipikul demi membawa pembangunan kepada kawasan berkenaan.
Awang Nashfarini Awang Sarbini, 38, antara muka baharu yang diketengahkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 berkata, beliau berhasrat memastikan pembangunan di Beting Maro terus dipertingkatkan khususnya dalam aspek pendidikan, kesihatan dan ekonomi.
Katanya, sekiranya mendapat mandat dan kepercayaan, beliau mahu melihat pembangunan di DUN tersebut setanding dengan kawasan bandar.
“Saya akan mendukung segala pembangunan yang dibawa pucuk pimpinan dan bersama-sama berusaha membangunkan kawasan pedalaman,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon GPS bagi PRU Sarawak Ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.
Mengulas cabaran sebagai calon baharu, Awang Nashfarini menambah, meskipun pertama kali bertanding dalam pilihan raya, beliau mempunyai pengalaman dalam gerak kerja politik termasuk lapan tahun bersama-sama penyandang kerusi DUN Beting Maro sebelum ini, Datuk Razaili Gapor.
Menurutnya, beliau juga pernah bekerja bersama Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, selain mempunyai pengalaman dalam sektor korporat sebagai Penolong Pengurus TH Plantations Berhad sebelum menceburi bidang politik.
Jelasnya, beliau juga sudah biasa dengan masyarakat setempat kerana sering turun padang mendekati penduduk dan membantu menangani permasalahan yang dihadapi mereka.
Anak jati Kampung Pusa yang kini menetap di Kampung Beladin itu juga merupakan Ketua Pemuda PBB bagi kawasan N29 Beting Maro serta Exco Pergerakan Pemuda PBB peringkat negeri.
Mengulas pemilihannya sebagai calon GPS, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kepimpinan parti atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
Ujarnya, pencalonan itu bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya amanah besar yang perlu dilaksanakan demi kepentingan penduduk Beting Maro.
Sementara itu, calon kerusi DUN Simunjan, Yussuf Chik, 45, memaklumkan beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Sarawak.

Beliau yang berasal dari Kampung Sageng Hilir, Simunjan memberitahu, pemilihannya sebagai calon GPS merupakan satu penghormatan.
“Justeru, saya ingin merakamkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi parti atas kepercayaan yang diberikan. Kita akan meneruskan kesinambungan dasar parti selain membawa pembangunan ke kawasan berkenaan,” katanya lagi.

