KOTA SAMARAHAN: Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Idris Buang menyeru seluruh jentera dan akar umbi Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya memberikan sokongan padu kepada calon baharu kerusi itu, Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim.
Beliau menegaskan, pemilihan Dr Dayang Nurfizawati sebagai penggantinya merupakan keputusan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bersama-sama Jawatankuasa Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diterimanya dengan hati terbuka.


Malah, Idris menyatakan kesediaannya membantu calon baharu itu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13, selain menggerakkan sokongan akar umbi bagi memastikan jentera GPS di Muara Tuang terus bekerja sebagai satu pasukan.
Dalam ucapannya pada majlis perjumpaan khas bersama-sama akar umbi dan ahli parti GPS di Pusat Khidmat N16 Muara Tuang, di sini, hari ini, beliau menyifatkan Dr Dayang Nurfizawati sebagai individu berpendidikan yang mempunyai pengalaman dalam bidang politik.
Dr Dayang Nurfizawati merupakan pemegang kelayakan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), selain pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Premier Sarawak dan memegang jawatan Bendahari Sayap Wanita PBB Sarawak.
Bidang penyelidikan akademiknya turut memberi tumpuan kepada sokongan kerajaan dan keusahawanan sosial, khususnya kejayaan perusahaan inap desa di selatan Sarawak.
“Saya rasa mungkin beliau lebih bertenaga dan lebih baik daripada saya. Insya-Allah, kita beri sokongan kepadanya demi rakyat,” katanya.
Tambah Idris, beliau tidak mempunyai masalah menerima keputusan kepimpinan parti, malah menganggap pemilihan pengganti itu sebagai langkah yang wajar memandangkan keadaan kesihatannya yang tidak lagi mengizinkan untuk berkhidmat seperti dahulu.
“Premier minta saya membantu. Beliau berkata, ‘I need you to help’. Jadi, saya terima dan akan membantu calon yang dipilih,” katanya.
Sehubungan itu, Idris meminta semua pemimpin akar umbi dan jentera GPS di Muara Tuang supaya mengetepikan sebarang perbezaan serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada calon baharu berkenaan.
Pada masa yang sama Idris turut memohon maaf kepada semua pihak sekiranya sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai wakil rakyat terdapat kekurangan atau tindakan yang mengguris hati mana-mana pihak.

