KUCHING: Pengalaman lebih sedekad dalam gerak kerja politik menjadi antara bekalan Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim apabila diberi kepercayaan untuk pertama kali bertanding sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.
Dayang Nurfizawati, 51, berkata beliau menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sejak berusia 18 tahun, didorong pelibatan ahli keluarganya, termasuk bapa saudara serta datuk dan nenek dalam arena politik.
Menurutnya, sejak kecil beliau melihat politik sebagai wadah untuk melaksanakan kerja kebajikan dan membantu masyarakat.
“Perkara berkenaan juga mendorong saya untuk terus berminat dalam politik kerana saya percaya melalui bidang ini, saya dapat membantu lebih ramai orang.
“Saya juga merupakan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak sejak 2017,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon GPS bagi PRU Sarawak Ke-13 di Ibu Pejabat PBB di sini, hari ini.
Mengulas cabaran sebagai calon baharu di DUN Muara Tuang, Dayang Nurfizawati menambah, pengalaman sebagai Setiausaha Politik kepada Premier serta pernah memegang jawatan lain dalam PBB memberi pendedahan berguna kepadanya.
“Sudah tentu setiap calon, sama ada muka baharu mahupun penyandang, mempunyai cabaran tersendiri, namun saya bertekad memberikan khidmat terbaik kepada rakyat sekiranya diberi mandat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, GPS menerusi penyandang kerusi DUN Muara Tuang sebelum ini, Datuk Idris Buang telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Datuk Idris kerana melaksanakan tugas dengan baik di Muara Tuang dan turut memberikan sokongan kepada saya. Oleh itu, saya akan meneruskan legasi beliau serta memberi perhatian kepada perkara yang masih perlu dilaksanakan di kawasan berkenaan.
“Saya percaya walaupun sesebuah kawasan sudah membangun, masih banyak perkara yang boleh dilakukan untuk terus memenuhi keperluan rakyat khususnya di Muara Tuang,” jelasnya.
Untuk rekod, Dayang Nurfizawati memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang perniagaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta ijazah sarjana dalam bidang Kejuruteraan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar dari Universiti Malaya (UM).
Beliau turut memperoleh ijazah pertama di Perth, Australia Barat, sebelum memulakan kerjaya dalam industri minyak dan gas bersama syarikat berpangkalan di Amerika sebelum menceburi bidang politik.


