ARTIKEL

Kaishu Yamazaki pada sidang media praperlawanan Kuching City menentang Phnom Penh Crown FC dalam saingan ACL2, hari ini.

KAISHU YAKIN THE CATS RAIH TIGA MATA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pemain tengah Kuching City FC, Kaishu Yamazaki optimis skuad The Cats mampu meraih tiga mata penting apabila menerima kunjungan Phnom Penh Crown FC dalam saingan Liga Juara-Juara Dua AFC (ACL2), esok.

Kaishu berkata, keyakinan itu hadir selepas seluruh pasukan mendapat rehat mencukupi dan menjalani persiapan rapi bagi menghadapi pendahulu Kumpulan H berkenaan.

“Semua pemain mempunyai keyakinan tinggi untuk mendapatkan tiga mata dan kami sudah bersedia memberikan yang terbaik,” katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.

Menurut Kaishu, kelebihan beraksi di laman sendiri turut menjadi suntikan semangat kepada pemain, terutama dengan sokongan padu penyokong Kuching City yang dijangka memenuhi stadium.

“Esok kita bermain di laman sendiri dan mempunyai keluarga serta penyokong yang sentiasa bersama-sama pasukan.

“Saya percaya dengan sokongan mereka, kami mampu mendapatkan keputusan yang baik dan meraih tiga mata,” jelasnya.

Bagaimanapun, Kaishu menegaskan motivasi pasukannya tidak berubah tanpa mengira pertandingan kerana setiap pemain sentiasa dituntut memberikan komitmen sepenuhnya untuk meraih kemenangan.

“Motivasi kami tetap sama dalam setiap perlawanan. Kami perlu memberikan 100 peratus kemampuan dan itulah yang akan kami lakukan,” tegasnya.

Pertemuan itu cukup penting buat The Cats yang kini menghuni tangga ketiga kumpulan dengan empat mata, di belakang Phnom Penh Crown yang mengumpul sembilan mata dan Kitchee SC dengan lima mata, manakala Gangwon FC turut memiliki empat mata di kedudukan keempat.

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak perlu memburu kemenangan bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan 16 terbaik selepas tewas 1-2 kepada wakil Kemboja itu pada pertemuan pertama, 17 September lalu.

The Cats kini membawa momentum positif selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan, termasuk menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0 pada aksi Liga Super, Jumaat lalu.

Kuching City dijadual menentang Phnom Penh Crown dalam aksi kelima Kumpulan H di Stadium Taha Ariffin, Kuching pada 6 petang.

Selepas pertemuan menentang Phnom Penh Crown, Kuching City bakal melengkapkan saingan Kumpulan H dengan bertandang ke Hong Kong bagi menghadapi Kitchee SC pada 3 Disember depan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU