KUCHING: Kuching City FC mahu memanfaatkan prestasi kurang memberangsangkan Phnom Penh Crown FC sejak tiga minggu lalu untuk memburu tiga mata penting dalam saingan Liga Juara-Juara Dua AFC (ACL2), petang esok.
Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berkata, meskipun wakil Kemboja itu mendahului Kumpulan H, beliau melihat peluang buat skuad The Cats untuk mencatat keputusan positif berdasarkan perkembangan prestasi lawan sejak kebelakangan ini.
“Phnom Penh mempunyai pasukan yang bagus. Saya mengenali jurulatih mereka dan pernah berdepan dengannya dalam pertandingan AFC beberapa tahun lalu.
“Mereka mempunyai pemain yang bekerja keras serta perancangan taktikal yang baik. Namun, berdasarkan pemerhatian saya sejak tiga minggu lalu, keputusan mereka kurang memberangsangkan dan inilah masanya kita cuba mengambil kesempatan,” katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.
Menurut Aidil, Kuching City kini berada dalam keadaan lebih baik berbanding pertemuan pertama di Kemboja selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut, selain mendapat tempoh rehat yang mencukupi untuk membuat persiapan.
Beliau berkata, kekalahan 1-2 kepada Phnom Penh Crown pada 17 September lalu berlaku ketika pasukannya dibelenggu masalah kecederaan dan terpaksa mengharungi jadual padat selepas pertemuan menentang Selangor.
“Kali ini keadaannya berbeza kerana kita mendapat rehat yang lebih panjang. Pemain juga memahami betapa pentingnya kemenangan untuk memastikan peluang kita dalam kumpulan terus terbuka.
“Setiap perlawanan kita turun dengan sasaran untuk menang. Hari esok juga begitu kerana kita mahu membalas sokongan penyokong selepas kekalahan pada pertemuan pertama,” jelasnya.
Aidil turut menyeru penyokong hadir memberikan sokongan padu kerana suasana di stadium mampu meningkatkan semangat pemain, khususnya ketika berdepan keletihan dan tekanan sepanjang perlawanan.
“Kita sangat memerlukan penyokong. Saya mahu kita bersatu sebagai sebuah keluarga dan berharap pemain dapat membalas sokongan mereka dengan persembahan serta keputusan yang baik,” katanya.
Kuching City yang menghuni tangga ketiga Kumpulan H dengan empat mata perlu menewaskan pendahulu, Phnom Penh Crown yang mengumpul sembilan mata bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan 16 terbaik.
Pertemuan kelima kumpulan itu dijadual berlangsung di Stadium Taha Ariffin, Kuching pada jam 6 petang, dengan Kitchee SC kini berada di tangga kedua mengumpul lima mata, manakala Gangwon FC di tempat keempat dengan empat mata.



