KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kembali diberi mandat bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan dan Engkilili pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.
Presidennya, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian menyifatkan Bawang Assan dan Engkilili sebagai kerusi milik SUPP, susulan pengumuman calon GPS oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat PBB, hari ini.
“Kerusi itu memang milik kami,” katanya ketika ditanya berkaitan keputusan GPS meletakkan calon SUPP di kedua-dua kawasan berkenaan.
Pada PRU Sarawak 2021, Bawang Assan dimenangi Datuk Seri Wong Soon Koh, manakala Engkilili dimenangi Dr Johnical Rayong menggunakan tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Kedua-duanya kemudian menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP) sebelum meletakkan jawatan daripada parti itu pada 23 November lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Sim mengesahkan Jawatankuasa Kerja Pusat SUPP memutuskan menerima keahlian Rayong dan penyandang DUN Batu Lintang, See Chee How, dalam mesyuarat malam tadi.
See memenangi Batu Lintang menggunakan tiket PSB pada PRN lalu sebelum meninggalkan parti itu dan kekal sebagai ADUN Bebas yang menyokong GPS.
Mengulas kedudukan SUPP dalam GPS, Dr. Sim berkata parti itu mahu menyumbang kepada pembangunan Sarawak dan meraih penghormatan rakyat menerusi usaha bersama parti komponen lain.
“Kami bukan di sini untuk membuli sesiapa. Kami mahu meraih penghormatan, membantu membangunkan Sarawak dan memastikan negeri ini terus berjaya,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan keyakinan ke atas potensi Sarawak perlu menjadi asas kepada usaha membangunkan negeri ini.
“Jika ada yang merasakan Sarawak tidak cukup baik, mereka boleh menggugurkan huruf K pada kad pengenalan masing-masing. Mereka boleh menjadi rakyat Malaysia sahaja dan tidak perlu menjadi rakyat Sarawak,” tegasnya.
Berkaitan persiapan menghadapi PRU Sarawak Ke-13, Dr. Sim berkata, semua calon GPS memerlukan sokongan padu parti komponen serta usaha lebih gigih berbanding pilihan raya lalu bagi memastikan kemenangan.
“Jika anak kita mendapat semua A, adakah kita tidak menyokong mereka? Tidak logik untuk mengatakan seseorang itu menunjukkan prestasi baik tetapi tidak memberikan sokongan dan kekuatan kepadanya.
“Jika dahulu kita berjuang, kali ini kita perlu berjuang lebih kuat,” jelasnya.

