ARTIKEL

Awang Tengah selesai memukul gong sebagai simbolik perasmian Persidangan Antarabangsa Hikayat Panglima Nikosa di Wisma Melayu.

Warisan Melayu Sarawak Perlu Diperkasa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Warisan Melayu Sarawak berusia 150 tahun bukan sekadar bukti kehebatan pemikiran generasi terdahulu, tetapi amanah untuk membina masa depan berteraskan ilmu, kepimpinan dan kemajuan.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Hikayat Panglima Nikosa membuktikan masyarakat Melayu Sarawak telah lama mempunyai tradisi penulisan, pemikiran dan keintelektualan yang bermakna.

“Kita bukan sahaja perlu memelihara warisan, tetapi mesti mengubahnya menjadi ilmu, kepimpinan dan kemajuan.

“Nilai sebenar warisan sastera bukan hanya terletak pada perkara yang diceritakan tentang masa lalu, tetapi pengajaran yang dapat dimanfaatkan untuk membentuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Hikayat Panglima Nikosa sempena ulang tahun ke-150 penerbitan karya berkenaan di Wisma Melayu Sarawak, hari ini.

Awang Tengah berkata, Hikayat Panglima Nikosa karya Ahmad Shawal Abdul Hamid dicetak di Kuching pada 30 Jun 1876 dan mempunyai kedudukan penting dalam sejarah kesusasteraan Melayu.

“Karya ini bukan sekadar kisah peperangan dan pengembaraan, sebaliknya mengandungi pelbagai nilai yang masih relevan dalam kehidupan masyarakat hari ini.

“Keberanian menghadapi cabaran, kepimpinan dan kebijaksanaan, ilmu dan pemikiran, kemajuan ekonomi serta nilai dan akhlak merupakan antara mesej utama yang boleh kita warisi daripada karya ini,” ujarnya.

Jelasnya, kejayaan memerlukan keberanian, ketabahan dan kesanggupan menghadapi kesukaran, manakala seorang pemimpin perlu mampu membuat keputusan, memikul tanggungjawab serta mengutamakan kepentingan masyarakat.

“Prinsip asas kemajuan manusia kekal relevan walaupun dunia kini berdepan perubahan teknologi yang pesat, termasuk kecerdasan buatan (AI), robotik, automasi dan ekonomi digital.

“Jika dahulu perjuangan memerlukan kekuatan fizikal, hari ini kita memerlukan kekuatan ilmu, kemahiran, teknologi dan pemikiran strategik,” katanya.

Tambahnya, Sarawak perlu melahirkan generasi yang bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi mampu mencipta teknologi melalui penguasaan literasi digital, AI, pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta pendidikan teknikal dan vokasional (TVET).

“Pendidikan juga perlu melangkaui matlamat mendapatkan sijil atau ijazah, sebaliknya membina keupayaan untuk berfikir, mencipta, bekerja dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Dalam aspek kepimpinan, Awang Tengah berkata, Sarawak memerlukan pemimpin masa hadapan yang mempunyai visi, integriti, keberanian dan kebijaksanaan serta mampu menguasai perkembangan teknologi, ekonomi dan global.

“Nilai dalam Hikayat Panglima Nikosa berpotensi dijadikan bahan pendidikan kepimpinan bagi generasi muda melalui program pembangunan belia, institusi pendidikan dan latihan kepimpinan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Awang Tengah turut memberitahu warisan budaya juga perlu dilihat sebagai peluang ekonomi, khususnya melalui pembangunan industri kreatif yang mampu menghasilkan pekerjaan dan pendapatan.

“Hikayat Panglima Nikosa boleh dikembangkan dalam bentuk e-buku, dokumentari, animasi, filem, pementasan teater, permainan digital dan aplikasi pendidikan.

“Karya yang lahir di Kuching pada 1876 itu berpotensi diperkenalkan kepada generasi global melalui teknologi abad ke-21 kerana warisan bukan sekadar untuk disimpan dan dikenang, tetapi menjadi sumber kreativiti, inovasi, pekerjaan dan pendapatan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU