ARTIKEL

Dr Lee Kuok Tiung

GPS Pilih Pembaharuan Terkawal – Penganalisis Politik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengekalkan sebahagian besar penyandang, sekali gus mengetengahkan 11 muka baharu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13 mencerminkan pendekatan pembaharuan terkawal bagi memastikan kesinambungan pentadbiran dan peralihan generasi kepimpinan.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Lee Kuok Tiung berkata, GPS mengekalkan 71 penyandang dan memperkenalkan 11 muka baharu, mewakili kira-kira 14 peratus daripada keseluruhan calon.

Katanya, pendekatan itu menggambarkan usaha GPS mengimbangi kesinambungan kepimpinan dengan keperluan pembaharuan.

“GPS mengekalkan 71 penyandang dan menampilkan 11 muka baharu, mewakili kira-kira 14 peratus daripada keseluruhan calon. Ini mencerminkan pendekatan pembaharuan terkawal (calibrated renewal) yang mengutamakan kesinambungan pentadbiran, meredakan konflik dalaman dan tekanan perubahan generasi,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Tambahnya, GPS juga tidak menampilkan calon langsung (direct candidate) pada PRU Sarawak ke-13 kali ini.

Menurutnya, penyandang kerusi Batu Lintang, See Chee How dan Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa masing-masing bertanding di bawah tiket Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), manakala Ketua Pemuda SUPP, Kelvin Lau menggantikan Wong Soon Koh di kerusi Bawang Assan.

“Sebelas muka baharu itu membawa tenaga segar serta memahami aspirasi Sarawak dalam ekonomi digital dan tenaga hijau, namun pada masa sama cukup matang dari segi pengalaman pengurusan dan akar umbi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut melihat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Datuk Miro Simuh sebagai contoh teladan kepada 11 muka baharu yang diketengahkan GPS yang rata-ratanya berada dalam lingkungan usia 40-an hingga awal 50-an.

Menurutnya, pada usia sekitar 53 tahun, perjalanan politik Miro memperlihatkan bagaimana seseorang pemimpin boleh meningkat secara organik daripada peringkat akar umbi sehingga menjadi antara tonggak kepimpinan negeri.

Tegasnya, antara kerusi yang dijangka menjadi tumpuan dalam kalangan 11 calon bukan penyandang ialah Pending dan Padungan yang merupakan kubu kuat DAP.

“SUPP dilihat mempertaruhkan tokoh tempatan yang sudah dikenali serta mempunyai rekod perkhidmatan dalam bidang perbandaran,” jelasnya.

Sementara, beliau memberitahu, penambahan jumlah calon wanita kepada lima orang berbanding empat pada PRU Sarawak ke-12, termasuk muka baharu seperti Dr Dayang Nurfizawati di Muara Tuang dan Nurfatin Syafawani Tahamat di Bekenu, turut memberi isyarat keterangkuman dalam pemilihan calon GPS.

Bagaimanapun, beliau berpandangan peratusan calon wanita yang diketengahkan masih berada pada tahap konservatif.

Antara 11 muka baharu yang diumumkan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini, ialah Wung Duk Ing bagi kerusi Padungan, Dayang Nurfizawati (Muara Tuang), Yussuf Chik (Simunjan), Awang Nashfarini Awang Sarbini (Beting Maro) dan Leonard Libau Anol (Simanggang).

Turut diberikan kepercayaan ialah Nor-E-Fadzwie Salleh (Kabong), Alexander Donald (Ngemah), Kevin Lau Kor Jie (Bawang Assan), Cerisologo Sabut (Pelagus), Nurfatin Syafawani (Bekenu) dan Datuk Jack Liam (Batu Danau).

BERITA LAIN

BERITA TERBARU