ARTIKEL

ACP Alexson Naga Chabu

Penamaan Calon PRU Sarawak Ke-13: Beberapa Jalan di Kuching Ditutup Sabtu Ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif susulan penutupan serta lencongan beberapa jalan utama di sekitar Kuching selama lima jam sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, penutupan dan lencongan itu dilaksanakan bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta proses penamaan calon di tujuh lokasi berasingan melibatkan lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, laluan yang terlibat bagi DUN Pantai Damai ialah Jalan Sultan Tengah dan Jalan Kemahiran, manakala Jalan Demak bagi DUN Demak Laut.

“Bagi DUN Tupong, pelaksanaan penutupan dan lencongan melibatkan Jalan Semarak, Jalan Duranda serta Jalan Duranda 1, sementara Lorong Juara 1 dan Lorong Juara 1D bagi DUN Samariang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, langkah sama turut dilaksanakan di Jalan Patinggi Ali dan Lorong Dato Merpati Jepang bagi DUN Satok.

Sementara itu katanya, bagi DUN Padungan dan Batu Lintang yang berkongsi pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), laluan terlibat ialah Jalan Padungan di hadapan dewan berkenaan serta Jalan Canna Lily Boulevard.

“Jalan Canna Lily Boulevard dan semua lorong menuju ke lobi bangunan MBKS turut terlibat berikutan proses penamaan calon bagi DUN Pending yang berlangsung di Auditorium MBKS.

“PDRM memohon kerjasama orang ramai yang datang agar tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan dan dinasihatkan supaya merancang perjalanan serta memilih laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut berhubung penutupan dan lencongan jalan berkenaan boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching menerusi talian 082-259900.

BERITA LAIN

KAISHU YAKIN THE CATS RAIH TIGA MATA

KUCHING: Pemain tengah Kuching City FC, Kaishu Yamazaki optimis skuad The Cats mampu meraih tiga mata penting apabila menerima kunjungan Phnom Penh Crown FC dalam

BERITA TERBARU

KAISHU YAKIN THE CATS RAIH TIGA MATA

KUCHING: Pemain tengah Kuching City FC, Kaishu Yamazaki optimis skuad The Cats mampu meraih tiga mata penting apabila menerima kunjungan Phnom Penh Crown FC dalam