PUSA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Datuk Razaili Gapor menzahirkan kesyukuran apabila seramai 16 penduduk dari kawasan itu terpilih bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.
Beliau menyifatkan peluang menyempurnakan Rukun Islam kelima itu sebagai satu nikmat besar yang perlu disyukuri selain mampu menjadi inspirasi kepada umat Islam lain untuk terus meningkatkan amalan.
“Ini merupakan satu khabar yang amat menggembirakan.
“Saya berharap semua jemaah haji dari Beting Maro dipermudahkan segala urusan sepanjang berada di Tanah Suci dan memperoleh haji yang mabrur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Peringkat DUN Beting Maro bagi Zon Pusa yang turut dihadiri Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli di Dewan Komuniti Kampung Pusa, malam tadi.
Dalam pada itu, Razaili turut menasihati para jemaah agar sentiasa mematuhi arahan serta panduan Lembaga Tabung Haji sepanjang berada di Mekah dan Madinah bagi memastikan keselamatan serta kelancaran ibadah.
Selain isu haji, beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusa dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen tinggi pelajar, guru serta ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan pendidikan terus diperkasakan.
“Ia bukan sahaja mengharumkan nama sekolah, malah mengangkat imej pendidikan di Beting Maro, khususnya di Daerah Pusa,” jelas beliau.
Tambah beliau lagi, pencapaian tersebut perlu dijadikan pemangkin untuk mengekalkan momentum kecemerlangan dengan memberi penekanan terhadap kualiti pengajaran serta pembelajaran selain memperkukuh sokongan berterusan kepada pelajar.
Sementara itu, Mohamad Shafizan berkata penganjuran rumah terbuka Aidilfitri mencerminkan budaya kenduri atau ringgo yang menjadi asas kepada perpaduan masyarakat setempat yang masih kekal subur hingga kini.
Mengulas mengenai perkembangan lain, beliau memaklumkan pembangunan pesat di kawasan Batang Lupar termasuk pembinaan beberapa jambatan baharu dijangka mampu merancakkan ekonomi setempat serta meningkatkan jaringan perhubungan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan masyarakat agar terus memelihara perpaduan serta kestabilan politik sebagai asas penting kepada kemajuan dan kemakmuran negeri.
Pada majlis tersebut, Razaili dan Mohamad Shafizan turut menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji, meraikan pelajar cemerlang SPM serta mengagihkan duit raya kepada para hadirin.

