160 keluarga OKU dibantu

KUCHING: Sebanyak 160 keluarga orang kelainan upaya (OKU) di Batu Kitang di sini menerima sumbangan bantuan makanan daripada WormingUp.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) yang juga Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang. Sebanyak 20 keluarga telah menerima bantuan makanan tersebut pada Khamis lalu disusuli 20 keluarga di SJK Chung Hua Batu 10, kelmarin.

Menurut Khere Chiang, sumbangan tersebut diserahkan secara berkumpulan dan ditaja oleh organisasi bukan kerajaan (NGO) perusahaan sosial WormingUp dari Kuching.

“Hari ini (semalam) mereka bermurah hati meskipun keuntungan tidak banyak, mereka dapat bantuan daripada orang ramai. “Mereka pergi ke kampung di Padawan untuk membeli hasil pertanian penduduk dan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan di Batu Kitang.

“Saya sangat berterima kasih kepada NGO ini kerana mereka tidak lupa golongan yang memerlukan,” jelasnya selepas penyerahan sumbangan bantuan makanan kepada keluarga OKU Dun Batu Kitang, kelmarin. Setiap penerima menerima beras 10 kilorgram, satu paket bihun, satu paket minyak masak, satu paket gula dan buah-buahan.

Sementara itu, pasangan suami isteri, Jeff Wee Hung Yee dan Tan Pei Chin daripada WormingUp berkata, mereka membeli hasil pertanian penduduk kampung dengan harga yang tinggi.

Menurut Pei Chin, sayur yang ditanam oleh pekebun-pekebun ini tidak dapat dijual di pasar semasa PKP. “Kami membawa sayur-sayuran ini ke bandar untuk dijual kepada orang ramai.

Namun untuk golongan seperti OKU, ibu tunggal dan mereka yang bergaji hari, mereka menghadapi kesusahan semasa PKP. “Justeru kami membawa barangan ini untuk diagihkan kepada mereka,” jelasnya.

Tambahnya, WormingUp mendapat dana daripada Alliance Islamic Bank untuk membeli sayur-sayuran daripada pekebun dan diagihkan kepada golongan yang memerlukan bersama-sama barang keperluan lain.

Suara Sarawak