16,000 penjawat awam terima bonus hari ini

KUCHING: Kira-kira 16,000 penjawat awam Sarawak akan menerima bantuan khas kewangan dua bulan gaji atau minimum RM2,000 hari ini (Rabu).

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion berkata, pembayaran dibuat sebelum sambutan Krismas dan sama dengan tarikh pembayaran gaji penjawat awam Sarawak untuk Disember.

“Bonus ini akan diterima oleh semua kategori daripada pengurusan tertinggi, perkhidmatan profesional, sokongan 1 dan sokongan 2,” katanya.

Pada Persidangan Dun Sarawak lepas, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan semua penjawat awam Sarawak akan menerima bonus dua bulan gaji atau minimum RM2,000.

Sementara itu, seramai 1.5 juta penjawat awam Kerajaan Persekutuan merangkumi pegawai lantikan tetap serta pegawai kontrak juga akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 hari ini.

Pesara pula akan menerima bantuan khas kewangan sebanyak RM250.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2020.

Dalam hal berkaitan, seramai 94,971 penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini akan me-
nerima insentif RM500 daripada Kerajaan Sarawak. Pembayaran akan dibuat pada Jun 2020.