ARTIKEL

BERCAKAP… Jamillah Putit bercakap pada Majlis Pelancaran Mahkamah Buruh Bergerak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak yang disempurnakan oleh Datuk Azman Mohd Yusof, di sini, hari ini.

1,613 Kes Perburuhan Direkodkan JTK Sarawak Sepanjang 2025


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 1,613 kes perburuhan dikendalikan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak sepanjang 2025, membabitkan perintah bayaran berjumlah RM30.7 juta yang dikeluarkan menerusi Mahkamah Buruh di seluruh negeri.

Pengarah JTK Sarawak Jamillah Putit berkata, jumlah itu merangkumi kes yang dikendalikan di Mahkamah Buruh yang beroperasi di pejabat tenaga kerja, sekali gus memperlihatkan skala pengendalian tuntutan pekerjaan di Sarawak.

“JTK Sarawak mempunyai 18 Mahkamah Buruh di 16 pejabat tenaga kerja di seluruh negeri yang berperanan mendengar dan menyelesaikan pertikaian pekerjaan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Mahkamah Buruh Bergerak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman Mohd Yusof, di sini, hari ini.

Dalam ucapan sama, beliau menyatakan bahawa sebanyak 1,347 kes tuntutan pekerja telah didengar, dengan perintah bayaran berjumlah RM5.7 juta dikeluarkan, namun perbezaan kategori atau tempoh statistik itu tidak diperincikan.

Seiring dengan keperluan memperkukuh penyampaian perkhidmatan katanya, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperkenalkan Mahkamah Buruh Bergerak sebagai pendekatan baharu bagi memperluas akses kepada proses penyelesaian pertikaian pekerjaan.

“Inisiatif berkenaan membolehkan prosiding dilaksanakan lebih dekat dengan tempat tinggal pekerja dan majikan, khususnya di kawasan luar bandar serta pedalaman yang berdepan kekangan jarak dan pengangkutan.

“Melalui pelaksanaan itu, pihak yang terlibat dalam tuntutan pekerjaan tidak lagi semestinya perlu melakukan perjalanan jauh ke pejabat tenaga kerja untuk menghadiri prosiding,” jelasnya.

Dalam usaha memperkemas pengendalian kes beliau berkata, JTK Sarawak turut memperkenalkan Sistem Perekodan Perbicaraan Digital (SPPD) bagi menyokong perjalanan prosiding di Mahkamah Buruh sedia ada dan kemudahan bergerak.

Penggunaan sistem tersebut katanya bertujuan meningkatkan kelancaran pendengaran kes melalui kaedah perekodan digital, selaras dengan usaha memodenkan perkhidmatan jabatan.

“Pengenalan Mahkamah Buruh Bergerak bersama pelaksanaan sistem digital itu dijangka memperkukuh akses kepada penyelesaian pertikaian pekerjaan, selain membantu memastikan pekerja dan majikan mendapat perkhidmatan yang lebih mudah dicapai tanpa mengira lokasi,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU