ARTIKEL

Tertuduh dibawa keluar oleh anggota penjara dari Bilik Mahkamah Majistret.

Rosakkan Pagar Rumah, Pukul Abang Ipar: Lelaki Didenda RM2,000, Dipenjara dan Disebat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara 24 bulan dan satu sebatan serta denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana melanggar pagar rumah menggunakan sebuah pacuan empat roda dan memukul abang iparnya menggunakan rotan.

Tertuduh, 37, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di dua Mahkamah Majistret berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan, kerana sengaja melakukan khianat merosakkan pagar rumah milik seorang wanita berusia 24 tahun ketika hari kejadian.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Duras, Jalan Kuching-Serian, sekitar 4.38 petang, 15 Jun 2021.

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah DayangKu Afiqah Alya AwangKu Johari menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara enam bulan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan.

Manakala, pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, kerana sengaja mencederakan abang iparnya yang ketika itu berusia 43 tahun menggunakan senjata sebatang rotan.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Siburan, Jalan Kuching-Serian, sekitar 5.40 petang, 15 Jun 2021.

Majistret Leona Dominic Mojiliu menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan dan satu sebatan terhadap tertuduh, selain memerintahkan tertuduh membayar pampasan kepada mangsa sebanyak RM1,500.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, sekitar 4.38 petang, tertuduh pergi ke rumah kakak iparnya (pengadu) di Taman Duras dalam keadaan marah lalu mengamuk dan melanggar pagar rumah pengadu menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Selain itu, Teck Man juga mengeluarkan kata-kata hendak membunuh pengadu.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam telefon bimbit suami pengadu menunjukkan perbuatan tertuduh melanggar pagar rumah, membuang alat ganti motosikal di tepi jalan berdekatan rumah ibu mentua pengadu serta memecahkan helmet motosikal milik suami pengadu.

Selepas mengamuk di rumah pengadu, sekitar 5.40 petang, tertuduh pergi ke rumah abang iparnya di Kampung Siburan lalu mengambil beberapa unit tayar motosikal dari dalam van masuk ke dalam kereta pacuan empat roda yang dipandunya.

Berlaku pertengkaran mulut di antara mereka hingga tertuduh bertindak memukul mangsa menggunakan sebatang kayu rotan hingga menyebabkan cedera lebam di bahagian belakang tangan kiri dan belakang badan.

Bimbang akan keselamatan diri, kakak ipar dan abang ipar tertuduh bertindak melaporkan kejadian yang menimpa mereka ke balai polis.

Difahamkan, tertuduh sering mengamuk dan memukul ahli keluarganya dan dia juga sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan yang sama.

Punca kejadian, kerana ahli keluarganya tidak memberikan wang yang dimintanya selain kenderaan pacuan empat roda yang digunakan melakukan jenayah tersebut adalah milik syarikat keluarganya.

Difahamkan juga, tertuduh pernah melarikan diri ke negara jiran selama lima tahun selepas laporan polis dilakukan keatasnya, namun dia berjaya ditangkap apabila kembali semula Malaysia dan melakukan kesalahan jenayah yang hampir sama.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Chuah Kai Sheng dan DPP Ahmad Fauzulutfi Suriani, manakala siasatan kes dilakukan oleh Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Muhammad Fardaus Musadad.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU