KUCHING: Bukan sekadar meraih kepercayaan pengundi, calon baharu GPS bagi kerusi DUN Muara Tuang, Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim, terlebih dahulu berharap dirinya diterima sebagai sebahagian daripada keluarga besar masyarakat di kawasan itu meskipun berdepan sentimen calon bukan tempatan.
Beliau mengakui menyedari sentimen berkenaan, namun berharap masyarakat setempat dapat memberinya peluang untuk bersama-sama membangunkan kawasan itu sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.
“Saya tahu sudah ada sentimen bahawa saya bukan calon tempatan. Namun, saya ingin menegaskan bahawa saya mahu menjadi sebahagian daripada Muara Tuang.
“Saya dengan rendah diri memohon kerjasama dan penerimaan semua untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Muara Tuang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan kepada 82 calon GPS oleh Pengerusi GPS, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini.
Kata Dr Dayang Nurfizawati lagi, sebagai calon baharu, beliau menyedari cabaran untuk mendapatkan kepercayaan masyarakat, justeru mahu bekerjasama rapat dengan parti, jentera akar umbi dan komuniti setempat.
Beliau merupakan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sejak berusia 18 tahun dan berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak sejak 2017.
Sebelum menceburi politik sepenuh masa, beliau mempunyai pengalaman profesional dalam industri minyak dan gas bersama Baker Hughes, selain aktif dalam Pergerakan Wanita PBB dengan mendekati ahli di 82 cawangan.
Dari segi akademik, beliau memiliki Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ijazah Sarjana dalam bidang kejuruteraan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar dari Universiti Malaya (UM) serta ijazah sarjana muda dalam bidang perniagaan dari Australia Barat.
Mengulas penyertaannya sebagai satu daripada lima calon wanita GPS pada pilihan raya kali ini, beliau menyifatkan peningkatan jumlah itu berbanding empat calon sebelum ini sebagai perkembangan positif.
Bagaimanapun, katanya, peluang kepada lebih ramai wanita dalam politik perlu berasaskan merit dan kemampuan, bukannya sekadar memenuhi kuota.
Beliau turut berharap lebih ramai wanita diberi peluang pada masa hadapan berdasarkan keupayaan mereka untuk memikul tanggungjawab dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Mengenai pendekatan kempen, Dr Dayang Nurfizawati berkata beliau akan memberi tumpuan kepada pencapaian serta inisiatif kerajaan Sarawak yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Katanya, lebih 200 inisiatif telah dilaksanakan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, termasuk dalam bidang pendidikan, pembangunan wanita dan kebajikan keluarga.
Antara yang akan diketengahkan ialah Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), pelbagai bantuan pendidikan melalui Yayasan Sarawak serta inisiatif dana endowmen di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti.
Menurutnya, kempen itu juga penting untuk memastikan masyarakat mengetahui pelbagai inisiatif kerajaan negeri yang mungkin belum mendapat perhatian sepenuhnya.
tamat

