KUCHING: Pengalaman selama 33 tahun dalam perkhidmatan awam termasuk pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Kapit dan Kanowit, menjadi antara bekal utama Cerisologo Sabut untuk meneruskan agenda pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus.
Calon baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Pelagus itu berkata, keutamaannya sekiranya diberi mandat adalah untuk memastikan kawasan berkenaan terus membangun, khususnya menerusi peningkatan kemudahan infrastruktur dan taraf sosioekonomi masyarakat.
Jelas beliau, pembangunan jalan raya akan diberikan perhatian kerana kemudahan itu menjadi asas penting yang menghubungkan penduduk dengan pelbagai peluang ekonomi serta perkhidmatan.
“Jalan merupakan ibu segala pembangunan. Jadi, kita akan memberikan perhatian kepada aspek itu, selain meningkatkan sosioekonomi masyarakat dan pembangunan komuniti.
“Perkara lain akan kita teliti selepas mendapatkan semua data serta berbincang dengan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan,” katanya.
Cerisologo berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan kepada 82 calon GPS oleh Pengerusi GPS, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.
Selain itu, beliau memberitahu, perancangan pembangunan Pelagus juga akan mengambil kira usaha dan sumbangan wakil rakyat terdahulu, Wilson Nyabong Ijang, yang telah melaksanakan pelbagai pembangunan di kawasan itu.
Tambah Cerisologo, beliau menghargai sumbangan bekas wakil rakyat berkenaan dan berhasrat menyambung usaha pembangunan yang telah dilaksanakan sebelum ini.
Katanya, pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan membolehkannya memahami dasar, sistem penyampaian serta mekanisme kerjasama antara agensi kerajaan dan sektor swasta.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Kapit selama enam tahun setengah sebelum berpindah ke Kanowit dan bersara daripada perkhidmatan awam pada 25 November lalu.
Pada masa sama, beliau turut mempunyai pengalaman lebih 20 tahun berkhidmat di pelbagai kementerian, sekali gus memberikannya pendedahan luas dengan urusan pentadbiran dan pelaksanaan dasar kerajaan.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 ini, Cerisologo menggantikan Wilson Nyabong Ijang bagi mempertahankan kerusi DUN Pelagus.
Pada PRU Sarawak 2021, Wilson yang bertanding atas tiket GPS memperoleh 2,843 undi dengan majoriti 1,049 undi menewaskan Kristoffer Nyuak Bajok daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang memperoleh 1,794 undi, selain tiga calon lain daripada DAP, PBK dan PBDSB.

