ARTIKEL

Miro ketika ditemui pemberita. | FOTO MOHD ALIF NONI

Serembu Berpotensi Jadi Hab Pembekal Makanan Sarawak – Miro

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kedudukan strategik berhampiran Kuching serta keluasan tanah yang masih belum dibangunkan membuka peluang kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu untuk muncul sebagai antara hab pembekal makanan utama Sarawak.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi DUN Serembu, Datuk Miro Simuh, berkata potensi itu boleh direalisasikan menerusi pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) secara terancang, khususnya dalam sektor pertanian dan pengeluaran makanan.

Menurutnya, pembangunan berkenaan memerlukan model kerjasama yang sesuai antara pemilik tanah dengan pelabur bagi memastikan kedua-dua pihak memperoleh manfaat.

“Pendekatan ini bukan sahaja dapat mengoptimumkan penggunaan tanah yang belum diusahakan, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan kepada 82 calon GPS oleh Pengerusi GPS, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini, hari ini.

Selain itu, Miro menjelaskan pembangunan tanah NCR menerusi aktiviti pertanian juga dapat memudahkan proses pengukuran tanah dan penentuan sempadan sebelum urusan pemberian hak milik dapat dilaksanakan.

“Kalau tanah ini sudah dibangunkan dengan tanaman dalam keluasan yang besar sehingga beribu-ribu ekar, lebih mudah untuk kita menentukan sempadan dan melaksanakan kerja pengukuran.

“Sekarang, apabila kerja ukur tanah dilakukan di kawasan hutan tebal, dalam tempoh tiga bulan hanya beberapa lot dapat diukur kerana kesukaran mengenal pasti sempadan dan memasuki kawasan berkenaan,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau meminta pemilik tanah NCR memberikan kerjasama dengan usaha pembangunan yang dirancang, selain tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan bahawa kerajaan mahu mengambil tanah mereka.

Sebaliknya, Miro menegaskan pembangunan itu bertujuan memberikan nilai ekonomi kepada tanah yang belum dimanfaatkan menerusi kerjasama pelabur dan pemilik tanah berasaskan konsep menang-menang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu pendekatan mendekati rakyat dan membawa pembangunan ke kawasan itu sudah dilaksanakan secara berterusan sejak beliau memenangi kerusi berkenaan pada 2016.

Katanya, tempoh 14 hari berkempen menjelang pilihan raya bukanlah satu-satunya ruang untuk mendekati pengundi kerana hubungan dengan masyarakat serta pelaksanaan pembangunan sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya sepanjang tempoh perkhidmatan.

“Sejak kita menang pada 2021 hingga sekarang, kita sentiasa berada di kawasan dan membawa pembangunan kepada penduduk.

“Cuma sedikit penjelasan diperlukan, terutama apabila kita diserang pihak lawan, supaya rakyat mendapat penerangan berkaitan perkara yang dibangkitkan,” katanya.

Pada PRU Sarawak 2021, Miro yang bertanding atas tiket GPS memperoleh 4,068 undi dengan majoriti 1,650 undi, menewaskan pencabar terdekatnya, Iana Akam daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang mendapat 2,418 undi.

Keputusan itu menyaksikan peningkatan majoriti berbanding PRU Sarawak 2016 apabila Miro, yang ketika itu bertanding atas tiket BN, memperoleh 3,452 undi dengan majoriti 1,397 undi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU